KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikenali sebagai Angah dipercayai dalang Geng Ayo Gombak yang aktif kegiatan jenayah ragut barang kemas ditahan polis.
Sindiket itu lumpuh selepas empat suspek, termasuk Angah, ditangkap dalam beberapa serbuan berasingan yang dilakukan polis di sekitar Lembah Klang pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, Angah ditahan pada malam Isnin lalu di Shah Alam hasil soal siasat ke atas seorang suspek pertama pada 28 Februari lalu.
Suspek yang merupakan seorang peragut kini direman selama 21 hari sehingga 23 Mac ini di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Katanya, Angah, 35, dipercayai menjadi ‘ulat emas’ yang mana dia akan membeli gelang dan rantai emas yang diragut pada harga RM190 segram sebelum meleburkan emas tersebut dan menjualnya kepada pemilik kedai emas.
“Setiap bulan ulat emas ini akan menjual kepada pembeli dengan harga RM216 segram dan pemborong tetap (pekerja dan pemilik kedai emas) pula akan membuat bayaran secara tunai dengan anggaran RM50,000 hingga RM70,000 setiap kali pembayaran.
“Ketika Angah ditahan polis turut berjaya merampas sebuah kereta BMW dan sebuah motosikal dan suspek kini disambung reman mulai hari ini untuk siasatan lanjut,.
“Kedua-dua suspek (Angah dan peragut) telah disenarai sebagai dikehendaki oleh polis Kuala Lumpur kerana terlibat dalam kegiatan kumpulan Geng Ayoi Gombak namun salah seorangnya dibebaskan dengan jaminan polis,”katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai kejayaan Op Rentak Mewah Geng Ayoi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Saiful Azly, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk melebur emas, 37 rantai, gelang, cincin dan loket emas.
Selain itu, polis turut merampas 13 rantai, gelang dan cincin perak, enam unit serpihan emas wang tunai, enam utas jam tangan pelbagai jenama mewah dan 11 buah kereta yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
Katanya, sindiket Ayoi Gombak menggunakan tiga alat untuk melebur rantai dan gelang emas yang mana proses peleburan mengambil masa selama 30 minit.
“Salah satu alatnya merupakan mesin elektrik dan juga gas untuk meleburkan rantai emas curi sehingga satu kilogram pada satu masa,” katanya.
Menurut Saiful Azly, secara keseluruhan polis berjaya menangkap semua ahli kumpulan geng berkenaan yang berusia antara 29 hingga 35 tahun dan seorang lelaki warga asing.
“Sehingga kini tiga suspek telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan sedang ditahan reman mengikut Seksyen 4 (1) (a) akta sama selama 21 hari.
“Dua suspek yang baru ditangkap sedang direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan tindakan lanjut di bawah POCA manakala dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing dibebaskan dengan jaminan polis kerana soal siasat mereka tak terlibat dalam kegiatan itu,” ujarnya.
Saiful Azli memberitahu, dengan tertangkapnya Angah, polis Kuala Lumpur berjaya menyelesaikan lebih 300 kes ragut pada tahun ini dan tahun lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM900,000. – MalaysiaGazette