MBSJ sediakan ruang yang selesa dan selamat di Dataran Puchong Permai kepada peniaga kecil dari Bulatan Taman Puchong Permai. - Foto SYAFIQ AMBAK

SUBANG JAYA – Peniaga kecil dari Bulatan Taman Puchong Permai, dekat sini menyambut baik langkah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan lokasi baharu yang lebih selesa dan selamat untuk mereka meneruskan mencari rezeki.

Rata-rata peniaga ditemui Malaysia Gazette di lokasi baharu di Dataran Puchong Permai itu menyatakan kepuasan hati mereka dengan fasiliti disediakan MBSJ seperti tapak berbumbung, kawasan luas dan tidak terganggu kesesakan lalu lintas.

Berbanding ketika mencari rezeki di lokasi lama, mereka dahulu terdedah bahaya kenderaan lalu lalang, selain becak apabila hujan dan berhabuk kalau kemarau, mendedahkan makanan kepada penyakit.

Siti Nooraishah Abd. Khar

Menurut seorang peniaga, Siti Nooraishah Abd. Khar, sangkaannya di lokasi baharu tidak mendapat sambutan berbanding berniaga di tempat lama, meleset sama sekali.

Pada hari pertama berpindah ke Dataran Puchong Permai, kehadiran pelanggan di luar jangkaan.

“Saya sediakan makanan, minuman dan kuih seperti biasa, tetapi sebelum jam 12 tengah hari, semua sudah habis dijual.

“Ini menambahkan semangat saya untuk berniaga di sini, dan selepas ini saya sediakan makanan dalam jumlah yang lebih daripada biasa. Saya tidak mahu pelanggan kecewa dan mereka juga suka tempat baharu ini.

“Terima kasih MBSJ kerana prihatin dengan masalah kami. Sebelum ini saya berniaga di tepi jalan tanpa mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Badariah Wahab

Seorang lagi peniaga, Badariah Wahab berkata, banyak pengalaman pahit dihadapinya sepanjang berniaga secara tidak sah di Bulatan Taman Puchong Permai.

Beliau akui sering kali disaman oleh penguatkuasa MBSJ kerana mendirikan struktur kedai tanpa kebenaran, selain tidak mempunyai lesen berniaga.

Namun, katanya, selepas pegawai MBSJ datang membuat bancian dan menawarkan tapak baharu di kawasan lebih selesa dan selamat, beliau menerima peluang itu.

“Bila pindah ke lokasi baru di Dataran Puchong Permai, bukan sahaja kawasannya luas, tempat letak kereta banyak, MBSJ juga turut berikan lesen berniaga sementara dan stall (warung) untuk saya berniaga di sini.

“Saya terkejut, bersyukur dan berterima kasih atas kebaikan pihak MBSJ kepada peniaga-peniaga di Bulatan Taman Puchong Permai.

“Tidak ada sebab untuk saya ingkar arahan MBSJ. Bayangkan, sebelum ini saya berniaga di tepi jalan yang sibuk dan terdedah kepada kemalangan, kini saya boleh berniaga dengan senang hati dan selesa di kawasan lebih selamat,” katanya.

Othman Mahmud

Othman Mahmud pula berkata, berniaga di Dataran Puchong Permai telah menambahkan rezekinya untuk menyara keluarga.

Katanya, beliau kini tidak lagi diganggu oleh penguatkuasa MBSJ kerana berniaga secara haram dan tanpa lesen di Bulatan Taman Puchong Permai, malah kali ini mereka datang untuk memantau bagi memastikan keselamatan peniaga di situ terjamin.

“Sekarang saya sudah ada lesen. Saya ada tempat yang lebih selesa dan saya tidak perlu takut berdepan dengan penguatkuasa lagi.

“Setiap pagi minggu, di sini ada Pasar Tani atau pasar pagi. Ribuan orang datang membeli belah dan turut singgah di gerai untuk makan minum.

“Alhamdulillah, rezeki saya bertambah dan dapat menampung keperluan keluarga dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” ujar Othman.

Mohd Najib Abd. Razak

Rakannya, Mohd Najib Abd. Razak pula menyifatkan apa yang berlaku kepadanya seperti ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ kerana selain di arah berpindah ke lokasi baharu, MBSJ turut menyediakan beberapa kemudahan lain.

Jelasnya, beliau hanya perlu keluarkan modal untuk beli bahan asas makanan dan minuman sahaja, kerana beberapa kemudahan lain seperti gerai dan lain-lain disediakan sepenuhnya oleh MBSJ.

“Kalau hujan atau panas, tidak perlu bimbang kerana ruang disediakan ini berbumbung. Keluarga yang membawa anak-anak makan minum di sini juga tidak perlu risau, kerana jauh dari lalu lintas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast