Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebas, Pekan, Pahang akan berkuatkuasa mulai esok selama dua minggu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu dibuat berdasarkan situasi terkini kes Covid-19 di situ yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga 3 Mac lalu, sebanyak 30 kes positif telah direkodkan dan seramai 150 kontak rapat telah dikenal pasti yang melibatkan penghuni kuarters ini,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian pelaksanaan PKP yang dikeluarkan di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak hari ini.

Menurutnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan tersebut selama 14 hari iaitu bermula 6 Mac hingga 19 Mac ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah menamatkan PKPD yang dilaksanakan taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh.

Sebelum ini PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut dan dijadualkan tamat esok iaitu 6 Mac 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira pada hari esok seperti dijadualkan,”  ujar beliau. – MalaysiaGazette