Azfarizal Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Semua pihak yang sentiasa berurusan dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) khususnya peniaga-peniaga dinasihatkan agar mengubah stigma pemikiran masing-masing terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Timbalan Pengarah (Korporat), Azfarizal Abdul Rashid berkata, MBSJ bukanlah musuh kepada mana-mana peniaga.

Malah mereka digesa untuk menilai semula tugas dan tanggungjawab badan itu dalam membantunya menjalankan perniagaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“MBSJ selalu dilihat seteru oleh penjaja dan peniaga, ini yang mungkin mind setting yang kita kena betulkan semula, kalau kita tengok dari konteks ini, kita membantu sedaya upaya supaya penjaja boleh berniaga dalam keadaan yang baik, mengikut peraturan dan mereka tidak mempunyai masalah di kemudian hari.

“Tempat-tempat yang tidak bahaya, tempat yang dibenarkan dengan aktiviti yang bersesuaian kita tidak ada halangan. Kita sentiasa membantu.

”Kalau kita tidak membantu, takkan wujud Dataran Penjaja Puchong Permai. MBSJ telah mengeluarkan kos yang banyak untuk bina struktur, dan sebab itu, mereka sepatutnya bersyukur ada tempat yang tidak dapat dinikmati oleh semua peniaga pun,” katanya mengenai isu 36 penjaja di bulatan Puchong Permai yang diarahkan berpindah sejak Disember tahun lalu.

Tindakan roboh gerai kerana melanggar syarat. – Azfarizal

Azfarizal berkata, MBSJ bertindak merobohkan gerai berhampiran Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai kerana terdapat pelanggaran syarat permit sementara dilakukan oleh penjaja-penjaja terlibat.

Ini kerana pemilik gerai-gerai berkenaan didapati mendirikan struktur tetap di atas tanah rizab jalan di kawasan itu.

Tambah Azfarizal, tindakan penjaja-penjaja di kawasan itu jelas melanggar konsep penjajaan yang dibuat oleh MBSJ.

Dengan meletakkan struktur kekal, ia jelas melanggar objektif utama PBT itu iaitu untuk membantu golongan yang sangat memerlukan.

Sebagai PBT yang bertanggungjawab, Azfarizal berkata, menjadi tugas MBSJ untuk mengurus dan menyediakan insfrastruktur yang baik dan bersih kepada semua pihak terutamanya penjaja di kawasan itu.

“Objektif kita  untuk meletakkan penjaja di satu tempat yang mempunyai kemudahan yang teratur dan senang untuk pelanggan datang dan mendapatkan barangan ataupun makanan yang ada.

“Dataran Puchong Permai ini merupakan satu tempat yang strategik kerana ia merupakan laluan utama berhampiran dengan persiaran Puchong Permai. Ada keluasan tempat yang sesuai untuk kita pusatkan penjaja di Puchong Permai.

”Ada kemudahan yang lain seperti tempat letak kereta dan taman permainan, jadi tempat itu strategik untuk mereka berniaga di sana,” katanya lagi.

Menurut beliau, sudah tentu apabila MBSJ menempatkan semula pusat penjaja ini, ia bertepatan dengan konsep penjajaan.

Konsep tapak yang mencukupi untuk aktiviti penjajaan dan dibuat secara jualan dan take away.

“Bagi penjualan sebegini sudah tentulah mereka merasakan ini tidak mencukupi kerana mereka ada satu kedai tomyam, nak pergi ke tapak penjaja memang tidak sesuai.

”Jadi sebenarnya aktiviti yang dijalankan di tapak sekarang itu sudah menyalahi dengan konsepnya. Ia bukan aktiviti penjajaan tapi lebih kepada membuka restoran” jelas Azfarizal.

Justeru itu, penjaja di kawasan tersebut diseru agar segera berpindah kerana kawasan itu sudah tidak strategik lagi untuk aktiviti perniagaan.

Sekurang-kuranya tiga pertemuan telah dibuat MBSJ bersama penjaja – Azfarizal

Mengulas lanjut, menurut Azfarizal lagi, kawasan itu akan dibangunkan untuk projek pelebaran jalan dalam masa terdekat yang akan memudahkan penduduk sekitar.

“Mereka (penjaja) memang tidak boleh menjaja di situ sebab memang itu bukan tempat menjaja, dan keduanya kerana kita telah ada tempat yang sesuai untuk kita pindahkan mereka. Jdi kita harapkan supaya peniaga ini dapat berpindah ke tempat yang disediakan.

“Bagi aktiviti yang tidak sesuai, mereka perlu mencari tempat yang lebih sesuai, contohnya mereka yang nak berniaga barang runcit, pusat cucian kereta ataupun perniagaan yang bersifat restoran dan sebagainya. Mereka boleh memilih lot kedai yang bersesuaian dengan aktiviti mereka,” katanya.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya tiga pertemuan telah dibuat MBSJ bersama para penjaja Puchong Permai bermula sejak 2019 lagi.

Malah, surat tawaran kepada semua penjaja juga telah diserahkan untuk mereka dipindahkan ke pusat baharu iaitu Dataran Penjaja Puchong Permai yang terletak kurang satu kilometer dari tapak lama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast