David De Gea.

LONDON –  Status David De Gea sebagai penjaga gol utama Manchester United berada dalam keadaan tidak menentu selepas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer telah memberitahunya  agar berehat sementara di Sepanyol.

Tindakan Solskjaer itu membolehkan Dean Henderson untuk kembali mengisi posisi penjaga gol United untuk enam perlawanan akan datang.

De Gea telah diberi pelepasan untuk pulang ke negaranya atas urusan peribadi termasuk mengurus isterinya yang telah melahirkan anak pertama mereka semalam.

Solskjaer telah memberi De Gea masa untuk bersama keluarga sehingga rehat perlawanan antarabangsa pada bulan ini walaupun De Gea dikatakan ingin terus bermain bersama pasukan United.

Keadaan ini telah membolehkan Henderson untuk berada sebagai penjaga gol utama United pada ketika ini.

Pemain berusia 23 tahun itu tidak berselindung dengan hasratnya untuk menjadi penjaga gol utama.

Dia kurang mendapat minit permainan pada sebelum ini dan dikatakan akan mempengaruhi keadaannya sebagai penjaga gol England nanti.

Henderson telah bermain ketika United seri 0-0 dengan Crystal Palace baru-baru ini dan dia akan terus kekal untuk perlawanan seterusnya ketika United bertemu dengan Manchester City, West Ham dalam Liga Perdana Inggeris, AC Milan dalam Piala Europa dan juga Leicester City dalam Piala FA.

Solskjaer kini berada di dalam dilema bagi posisi penjaga gol utama United apabila De Gea sebelum ini pernah berada pada situasi yang meragukan gara-gara keputusan tewas dan seri untuk United.

Henderson telah membuat 13 penampilan dan berjaya memperolehi lapan ‘clean sheet’.

Selain itu, jika Henderson terus menjadi pilihan utama United, pihak pengurusan pasti menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembeli untuk De Gea.

Dia masih lagi mempunyai kontrak berbaki dua musim dengan gaji £375,000 seminggu sebagai penjaga gol. – MalaysiaGazette