TEHRAN – Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menggagalkan rancangan merampas sebuah pesawat Air Iran yang dalam penerbangan dari Ahwaz ke Mashhad.

Agensi berita, IRNA melaporkan sebuah pesawat melakukan pendaratan cemas di Isfahan dan suspek ditahan.

Menurut IRGC, pesawat Fokker 100, dengan kod penerbangan 334, berlepas dari lapangan terbang Ahwaz pada jam 10.10 malam Khamis lalu selepas mengalami kelewatan selama 10 minit.

Menurut laporan awal, suspek telah merancang untuk merampas pesawat itu dan mengarahkannya mendarat di ‘pantai selatan Teluk Parsi’.

“Menurut kenyataan laporan awal, suspek konspirasi ini berhasrat untuk mendaratkan pesawat di salah sebuah lapangan terbang di negeri di selatan Teluk Parsi selepas merampasnya,” menurut kenyataan IRGC.

Agensi tersebut berkata, semua penumpang selamat dan perancangan penerbangan alternatif dilakukan bagi memastikan mereka sampai ke destrinasi masing-masing dalam ‘keadaan kesihatan yang baik’.

IRGC sedang menyiasat tentang konspirasi itu daripada pelbagai aspek.

“Dengan pendaratan cemas pesawat di lapangan terbang Isfahan, perampas telah ditahan dan penumpang pesawat telah terbang ke destinasi masing-masing,” kata jabatan perhubungan awam seperti dipetik media tempatan.

Identiti suspek tidak didedahkan agensi itu. – MalaysiaGazette