Siti Noor Madzariah ketika menerima bantuan dari Teresa Kok di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Siti Noor Madzariah yang menerima bantuan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini merupakan penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP sejak tahun 2016.

Beliau menerima Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM300 sehingga kini selain Bantuan Kecemasan berjumlah RM500 sebanyak dua kali.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya prihatin dengan situasi sukar yang dihadapi oleh ibu tunggal itu akan menyalurkan Bantuan Sewa Rumah Bulanan selain menaikkan kadar Bantuan Kewangan Bulanan yang sedang diterimanya.

Kisah bekas kru syarikat penerbangan ini mendapat perhatian apabila Siti Noor Madzariah, bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS) terpaksa datang ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh untuk mendapatkan bantuan selepas kelima-lima anak-anaknya di terpaksa berlapar tiada makanan.

Malah, beliau juga tidak mampu untuk membayar sewa rumahnya yang terletak di Sri Manja, Jalan Klang Lama dan ansuran bulanan untuk motosikalnya.

Selepas Teresa Kok memberikan wang tunai RM300 dan makanan untuk beliau dan keluarga, Siti Noor Madzariah yang sebak sehingga sanggup memegang kaki ahli Parlimen itu kerana terlalu gembira. – MalaysiaGazette