GEORGE TOWN – Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut hari ini, Parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mengambil inisiatif menghargai pengorbanan serta pencapaian wanita.
Penghargaan itu diterjemahkan dengan pemberian 250 kuntum bunga mawar dan bunga anyelir (carnation) kepada peniaga serta pengunjung wanita di Pasar Awam Bayan Baru, di sini, hari ini.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, tema sambutan tahun ini ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, sejajar dengan sumbangan berterusan wanita dalam pelbagai bidang meski dibelenggu pandemik Covid-19.
“Komitmen dan kecekalan wanita dalam mengharungi cabaran kehidupan pada masa kini adalah inspirasi besar buat semua.
“Wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan bagi menghargai wanita dalam pelbagai bidang kita memilih lokasi ini serta bunga sebagai simbolik keperibadiaan mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, seorang suri rumah, Wan Teh Wan Haris, 72, berkata, dia terharu dengan pemberian bunga oleh individu asing daripada ahli keluarganya.
“Saya lupa hari ini merupakan sambutan hari wanita sehingga menerima kuntuman bunga berkenaan.
“Selama ini saya tidak pernah dapat bunga daripada orang yang tidak dikenali dan tidak sangka pula hari ini terima bunga di pasar,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Turut meluahkan rasa gembira, Siti Rohaizah Wahad berkata, beliau rasa sangat dihargai apabila menerima kuntuman bunga pada hari ini.
“Ini kali pertama saya terima bunga sempena hari wanita dan rasa teruja sebab selalunya dapat bunga pada ulang tahun kelahiran sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette