Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meninjau pusat kawalan operasi semasa mengadakan lawatan kerja di Depot LRT Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan Datin Norlia Noah sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan itu berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas perkhidmatan Muhammad Nizam Alias ditamatkan baru-baru ini

“Ahli Lembaga Pengarah telah bermesyuarat dua, tiga kali akhirnya membuat pertimbangan ini namun tidak dihebahkan untuk menjaga nama masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Depoh Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang hari ini.

Tajuddin yakin, Norlia yang telah berkhidmat dengan Prasarana sejak 2004 akan mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan itu.

“Datin Norlia bukanlah seorang yang asing dengan Kumpulan Prasarana. Sejak mula berkhidmat di sini pada 2004, beliau memegang jawatan penting seperti Pengarah Projek LRT3, Ketua CAPEX Rel dan Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Prasarana sebelum dilantik Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) tahun lepas,” katanya.

Dalam masa yang sama, Tajuddin turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai anggota Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana yang baharu.

Untuk rekod, Abu Kassim merupakan bekas Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah Nasional.

Turut dilantik menganggotai Lembaga Pengarah ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigeresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Dua individu itu merupakan bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Tajuddin, pelantikan dua anggota Lembaga Pengarah baharu itu berkuatkuasa 15 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast