GOMBAK – Misteri kehilangan seorang pesakit di Hospital Selayang sejak seminggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui tersangkut di dalam bilik riser paip di tingkat enam hospital tersebut.
Penemuan mayat pesakit berusia 79 tahun itu berpunca daripada bau busuk dihidu oleh seorang juruteknik yang sedang bertugas di kawasan tersebut.
Mangsa yang dmasukkan ke hospital untuk rawatan pada 1 Mac lalu dilaporkan hilang dua hari kemudian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, satu laporan diterima dari seorang juruteknik yang sedang bertugas di hospital itu mengenai bau busuk tersebut jam 6.20 petang semalam.
Katanya, juruteknik berkenaan bergegas ke bilik riser paip untuk melakukan pemeriksaan dan terkejut apabila melihat tangan manusia terkulai di deretan paip itu.
Pengadu kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Unit Keselamatan Hospital dan seterusnya membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Selayang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Selayang telah pergi ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat lelaki orang asli berusia 79 tahun terselit di celah paip bilik riser tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan bomba hadir ke tempat kejadian membantu mengeluarkan mayat mangsa.
“Punca kematian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan mansa terjatuh dari tingkat atas dan tersangkut di celap paip tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Selayang bagi bedah siasat punca kematian dan siasatan dijalankan di bawah Kes Mati Mengejut (SDR).
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Maheswaran A/L Kanapathy di 03-61262222 atau 016-6722971. – MalaysiaGazette