Sebuah kapal penuh dengan pendatang, terbalik di Laut Mediterranean, Tunisia. foto agensi

TUNIS – Sekurang-kurangnya 39 pendatang lemas apabila dua bot yang mereka naiki terbalik di Tunisia, semalam.

Kementerian Pertahanan Tunisia berkata, setakat ini pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 165 mangsa dalam kejadian itu.

“Kejadian masih tidak diketahui mengapa kedua-dua bot itu boleh terbalik.

“Bagaimanapun, bot membawa pendatang yang meninggalkan pesisir Afrika Utara untuk ke Eropah lazimnya adalah buatan sementara serta padat dengan muatan berlebihan.

“Selain itu, mereka juga selalu akan bertolak pada waktu malam walaupun ketika cuaca buruk bagi mengelak daripada dikesan pengawal pantai,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pengawal Nasional Tunisia, Houcem Eddine Jebabli memberitahu, pencarian kesemua mangsa dan mayat masih dijalankan.

Difahamkan, bot terbabit yang membawa pendatang kebanyakannya dari sub-Sahara Afrika untuk menuju ke Eropah, namun telah dikesan oleh pengawal pantai di luar pelabuhan Sfax, Tunisia. -MalaysiaGazette