GLAUKOMA merupakan penyakit urat saraf mata yang menyebabkan medan penglihatan
pesakit semakin sempit, dan jika ianya berlarutan boleh menyebabkan kebutaan. Proses ini berlaku secara berkadaran, lantas pesakit tidak sedar bahawa medan penglihatan mereka terjejas. Inilah punca mengapa glaukoma dikatakan pencuri penglihatan secara senyap.
Menurut Laporan Bancian Mata Kebangsaan 2014, penyakit glaukoma adalah penyebab
ketiga kebutaan di kalangan masyarakat Malaysia, didahului oleh katarak dan diabetik retinopati. Kebiasaannya pesakit glaukoma adalah terdiri daripada jenis glaukoma primer (primary glaucoma) di mana punca utama penyakit ini berlaku tidak diketahui. Walaubagaimanapun, terdapat juga pesakit glaukoma sekunder (secondary glaucoma) di mana punca penyakit tersebut dapat dikenalpasti dan dirawat.
Pada awalnya, antara simptom yang mungkin dialami oleh pesakit ialah mereka tidak dapat mengagak jika ada objek atau orang yang lalu di sisi mereka, serta lebih sukar untuk munuruni anak tangga, di samping ketajaman penglihatan yang semakin merosot. Ini adalah disebabkan medan sisi penglihatan yang semakin sempit secara perlahan. Pesakit kebiasaannya akan mendapatkan rawatan apabila simptom-simptom tersebut semakin ketara.
Namun, kebanyakan pesakit dikenalpasti menghidapi glaukoma secara kebetulan apabila menjalani pemeriksaan mata secara rutin. Tekanan mata yang tinggi adalah risiko utama mengapa penyakit ini berlarutan. Tekanan mata yang normal adalah sekitar 10 sehingga 21 mmHg, dan jika tekanan mata melebihi paras tersebut, glaukoma disyaki wujud pada pesakit. Lalu, keadaan urat mata perlu diteliti sama ada terdapat tanda-tanda glaukoma atau tidak, dan pesakit perlu menjalani ujian medan penglihatan bagi mengenalpasti status medan penglihatan mereka samada baik atau terjejas.
Risiko-risiko lain bagi penyakit glaukoma adalah sejarah ahli keluarga yang mengalami
penyakit glaukoma, keadaan bola mata yang panjang, umur yang lanjut, penyakit kencing manis serta darah tinggi, dan penggunaan ubat steroid. Jika wujud faktor-faktor tersebut, pesakit adalah dinasihati untuk menjalani saringan glaukoma di klinik-klinik mata. Ini adalah penting bagi mengenalpasti penyakit tersebut lebih awal lantas rawatan dapat diberi bagi mencegah ianya daripada melarat.
Rawatan utama bagi glaukoma adalah dengan menurunkan tahap tekanan mata kepada
paras normal bagi mengelak kerosakan pada urat mata bertambah teruk lalu menghilangkan potensi penglihatan yang berbaki. Pada peringkat awal glaukoma, rawatan diberi dengan menitiskan ubat titis mata anti-glaukoma.
Pesakit harus memastikan ubat tersebut diambil setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan. Kaedah menitiskan ubat mata tersebut juga penting untuk dipelajari bagi
memastikan ianya benar-benar berkesan. Terdapat juga beberapa jenis ubat anti-glaukoma yang boleh ditelan tetapi ianya hanya boleh diambil untuk jangka masa yang terhad, serta rawatan laser pada pesakit-pesakit glaukoma tertentu.
Namun, jika tekanan mata masih tidak terkawal, pesakit perlu menjalani rawatan
pembedahan glaukoma, di mana saliran alternatif bagi aliran gelemair (aqueous humour) akan dicipta pada sudut ruang hadapan mata. Teknologi terkini bagi rawatan pembedahan glaukoma juga menawarkan kaedah pembedahan yang kurang merosakkan struktur mata (minimally-invasive) dengan menanam implan bersaiz mikro ke dalam sudut mata tersebut.
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa rawatan-rawatan tersebut tidak dapat
mengembalikan penglihatan pesakit yang telah terjejas. Ianya adalah penting bagi memelihara baki penglihatan yang masih baik.
Sempena Minggu Glaukoma Sedunia yang sedang berlangsung pada 7 sehingga 12 Mac
2021, kesedaran bagi mendapatkan pemeriksaan mata pada peringkat lebih awal perlu diterapkan kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Perkara ini sangat mustahak kerana penyakit glaukoma boleh dirawat, lantas penglihatan dapat dipelihara. Ingat, glaukoma mencuri penglihatan secara senyap!
Oleh: Dr. Syamil Salmi
Pakar Oftalmologi,
Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).
Ahli Jawatankuasa Pusat,
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).