Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong mulai 16 September 2021 dengan pematuhan SOP yang ketat.

KONSEP ‘Jejak Air” adalah satu konsep yang masih agak baru diperkenalkan. Ianya
diperkenalkan oleh penyelidik dari Belanda iaitu Professor Arjen Hoekstra pada tahun 2002.

Sejak diperkenalkan, konsep ini telah mula diperkenalkan dalam polisi pengurusan air di
beberapa negara seperti Sepanyol dan China.

Kajian konsep ‘jejak air’ telah dimulakan secara aktif terutama untuk sektor makanan dan
perdagangan. Walau bagaimanapun, konsep ‘jejak air’ tidak hanya bertumpu dalam kedua-dua sektor ini sahaja malah ia boleh melangkau untuk diimplementasikan dalam sektor perkhidmatan contohnya pelancongan.

Bagaimana konsep ‘jejak air’ dapat dilaksanakan dalam sektor pelancongan? Sektor
pelancongan merupakan sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Peranan penting sektor ini dalam ekonomi negara mengaktifkan aktiviti-aktiviti hiliran industri lain seperti makanan, pengangkutan, peruncitan, elektrik dan terutamanya air.
Penggunaan air bagi aktiviti- aktiviti dalam penjanaan sektor pelancongan ini perlu
menggunakan jumlah air yang banyak. Ini adalah disebabkan sektor pelancongan turut
melibatkan sektor-sektor penting negara yang lain seperti perindustrian, pengangkutan,
perdagangan, peruncitan serta pertanian. Justeru, konsep ‘jejak air’ dalam sektor
pelancongan secara tidak langsung melibatkan penggunaan air dalam sektor- sektor yang
terlibat dalam industri pelancongan ini.

Namun konsep ‘jejak air’ tidak hanya bertujuan untuk menjalankan pengiraan air dalam
aktiviti-aktiviti pelancongan, bahkan ianya juga bertujuan untuk menggalakkan pemain-
pemain industri pelancongan agar memainkan peranan untuk kesedaran dalam penggunaan air secara berhemah.

Penggunaan air dalam kalangan pelancongan adalah lebih tinggi berbanding penduduk
setempat itu sendiri. Ini adalah kerana pelancong mempunyai persepsi bahawa mereka
tidak perlu memikirkan jumlah penggunaan air berbanding jika mereka berada di rumah.

Persepsi untuk tidak mempedulikan penggunaan air ketika melancong perlu diubah. Ianya
tidak hanya dari aspek penggunaan air namun dari sudut aktiviti-aktiviti ketika melancong
seperti makanan, pengangkutan dan membeli belah. Krisis air tidak hanya di Malaysia malah di peringkat global memerlukan semua pihak mengambil peranan yang serius dalam kesedaran penggunaan air.

Konsep ‘jejak air’ akan memberi maklumat tepat mengenai penggunaan air dalam setiap
aktiviti-aktiviti ketika melancong. Maklumat ‘jejak air’ menyerupai konsep maklumat
kandungan kolesterol dan vitamin-vitamin dalam pek makanan ketika ini. Pada masa
hadapan maklumat ‘jejak air’ juga akan dipaparkan untuk memberikan kesedaran yang lebih kepada semua pihak dalam penjimatan air untuk tujuan kelestarian alam.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan
Keselamatan Air (IPASA) telah mengambil inisiatif dalam menjalankan kajian ‘jejak air’
secara mendalam melalui Pelan Tindakan Sektor Air 2040 oleh Unit Perancangan Ekonomi
(EPU) Jabatan Perdana Menteri.

Kajian ‘jejak air’ dalam sektor pelancongan adalah salah satu aspek kajian yang dijalankan. Perbincangan Kumpulan Fokus ‘jejak air’ dalam sektor pelancongan telah dilaksanakan melibatkan beberapa kementerian berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Jabatan Statistik Malaysia dan Tourism Malaysia.

Malah pemain-pemain industri pelancongan terutama hotel- hotel termasuk Persatuan
Hotel Malaysia (MAH), V8 Hotel, Damai Beach Resort, Fraser Place Puteri Harbour, Suasana Suite Johor Bahru, Hilton Kuching, Dhe Ru Beach Resort, Erya Hotels, Royale Chulan Kuantan dan Paya Bunga Hotel, Terengganu.

Pemain-pemain dalam industri pelancongan berpandangan bahawa inisiatif ‘jejak air’
merupakan satu tindakan yang efektif dalam memastikan aspek kelestarian alam sekitar
melalui sektor air dalam sektor pelancongan dapat dilaksanakan. Maklumat ‘jejak air’ terutama dalam sektor perhotelan akan memberikan gambar lebih jelas kepada pihak perhotelan agar dapat menjalankan konsep penjimatan air dengan lebih
efektif.

Walaupun pengusaha-pengusaha hotel telah lama melaksanakan konsep ‘hijau’
dalam menjayakan perancangan kelestarian alam sekitar sejagat, seperti penjimatan tenaga, adalah diharapkan agar penggunaan air juga dapat dititikberatkan.

Dengan konsep ‘jejak air’ ini, maklumat ini akan dapat disampaikan kepada para pelancong yang menginap hotel-hotel di Malaysia. Secara tidak langsung orang ramai akan dapat turut sama menjayakan agenda kelestarian alam sekitar.

Oleh : Prof. Ts. Dr. Zainura Zainon Noor dan Dr. Muhammad Najib Razali

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast