KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan melahirkan kesal dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor menyifatkan, keputusan itu sebagai tamparan hebat kepada kepada umat Islam yang sedang menyambut Israk Mikraj ketika ini.
Kata beliau, umat Islam perlu sedar dan bangkit mengenai perihal bahaya apabila kalimah suci itu dibenarkan untuk digunakan oleh penganut Kristian.
“Ini adalah cubaan membuka peluang gerakan untuk mensyirikkan Allah oleh berkepentingan yang menggunakan alasan konon, nama Allah sekadar dalam buku rujukan sahaja.
“Mereka cuba menggambarkan seolah-olah kalimah Allah ini hanya ayat biasa yang tidak perlu dihormati.
“Dengan ini juga, kalimah Allah akan menjadi kebiasaan untuk disalahgunakan bagi kepentingan perniagaan seperti restoran dan kedai makan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum itu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat pejabat MalaysiaGazette untuk melihat organisasi media beroperasi.
Noor Hariri yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas mempersoalkan, apa tujuan pihak paderi di Semenanjung yang bertegas mahu menggunakan kalimah Allah bagi merujuk tuhan mereka walaupun sejak lebih 500 tahun dahulu Roman Katolik memasuki Melaka tidak pernah pun menggunakannya.
“Oleh itu, kami menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan agar membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari.
“Ini bagi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjaga hak kaum terbesar yang Islam untuk mengelakkan tercetus sebarang ketidakharmonian antara agama,” katanya. – MalaysiaGazette
Bagus UMNO, Pas, Muafakat Nasional dan ISMA ni, teruskan perjuangan sehingga keakhir!
Sejak bila pula kitab2 mereka gunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar? Takde angin, hujan dan guruh tiba2 sahaja nak gunakan perkataan Allah.
Kalau kitab2 bahasa Indonesia atau Arab gunakannya ianya bukanlah alasan untuk membenarkannya? Atau mereka gunakan penfsiran sendiri dalam penghakimanan?