ACP Abd Khalid Othman

KUALA LUMPUR – Polis menahan 17 individu yang disyaki bekerja di pusat panggilan untuk skim pinjaman yang tidak wujud dan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Pusat Perdagangan Puchong Prima, Taman Puchong Prima pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman berkata, polis menyerbu sebuah kedai kira-kira 3 petang dan menahan lapan lelaki serta sembilan wanita termasuk pemilik premis, yang dipercayai pekerja pusat panggilan tersebut.

“Setelah memeriksa premis itu, polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk menawarkan dan mempromosikan pinjaman palsu kepada orang ramai.

“Barang yang dirampas itu termasuk 35 telefon bimbit, lapan komputer desktop dan sebuah komputer riba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Abd Khalid berkata, mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 37 tahun, dibawa ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah mempromosikan skim pinjaman mereka di platform media sosial termasuk melalui pesanan di aplikasi WhatsApp, dengan menyasarkan pemilik perniagaan kecil dengan tawaran pinjaman sehingga RM1,000.

“Kebanyakan laporan polis yang diterima menyatakan bahawa sindiket gagal memindahkan jumlah yang dipersetujui kepada pelanggan, tetapi masih menuntut pembayaran dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. –  Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast