SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa tidak bersikap dwi-standard dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kompaun sehingga RM10,000 perlu dikenakan bukan sahaja terhadap rakyat malahan pemimpin politik juga wajar diambil tindakan.

“Rakyat mahu lihat apakah bentuk saman dan kompaun yang akan dikeluarkan oleh pihak polis terhadap pemimpin DAP dan penganjur dalam satu majlis yang gagal mematuhi SOP.

“Rakyat rasa terhina apabila undang-undang ini dikenakan kepada mereka yang dikatakan melanggar SOP, sedangkan pemimpin sendiri gagal patuhi SOP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Konvensyen DAP Perak di Ipoh kecoh di laman media sosial selepas kira-kira 1,500 ahli dan pemimpin parti itu melanggar pelbagai SOP bagi mencegah dan mengawal pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Razlan tidak berniat untuk mempertikaikan kerajaan dan pihak berkuasa, sebaliknya mahu undang-undang dikuatkuasakan dengan adil tanpa berat sebelah.

“Apakah kerajaan berani menegakkan undang-undang apabila melihat Mesyuarat DAP ini yang jelas telah melanggar SOP.

“Sekiranya kerajaan melihat dan menunding jari kepada mana-mana pihak dan beralasan mahu menyiasat atau tidak, maka tidak guna darurat yang ada sekarang. Bubarkan sahaja darurat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 109 individu di pusat hiburan dikompaun berjumlah RM1.13 juta DI JOHOR…..Bagaimana dengan perwakilan DAPIGS seramai 1500 ORANG X RM10000 TIADA APA2 TINDAKAN????Kehadiran mereka tercatat mudah utk ambil tindakan keras tiada ALASAN lagi utk disiasat.

Comments are closed.