SHAH ALAM – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM945,986 antara 2018 hingga 2019.
Tertuduh, Len Chia Whey, 37 dan isterinya, Tong Karen, 36, mengaku tidak bersalah masing-masing terhadap 12 dan lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan, Chia Whey, didakwa melakukan pemindahan wang hasil aktiviti haram daripada akaun bank tempatan semasa ke akaun bank peribadi miliknya dan mata wang asing berjumlah RM757,986 antara April 2018 hingga Ogos 2019.
Dalam 12 pertuduhan seterusnya, Chia Whey didakwa menggunakan wang antara RM1,986.63 hingga RM10,000 melalui pemindahan wang dari akaun bank simpanan tempatan dan kad kredit visa miliknya kepada akaun bank tempatan milik sebuah syarikat kereta mewah.
Pemindahan wang hasil daripada aktiviti haram itu sebagai bayaran pendahuluan bagi pembelian sebuah kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman F54.
Semua kesalahan itu yang dilakukan Chia Whey antara 21 April 2018 hingga 17 September 2019 di beberapa bank tempatan di Damansara Uptown Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Cyberjaya Sepang, Setia Alam Shah Alam dan Damansara Utama Petaling Jaya, Selangor.
Bagi pertuduhan terhadap isterinya pula, Karen didakwa melakukan pemindahan wang hasil aktiviti haram daripada akaun bank tempatan semasa ke akaun bank peribadi miliknya berjumlah RM188,000 antara Julai 2018 hingga Ogos 2019.
Dalam lima pertuduhan seterusnya, Karen didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM10,000 melalui pemindahan wang dari akaun simpanan bank tempatan miliknya kepada akaun bank tempatan milik sebuah syarikat kereta mewah.
Pemindahan wang hasil daripada aktiviti haram itu sebagai bayaran pendahuluan bagi pembelian sebuah kenderaan jenis Mini Cooper S Clubman F54.
Semua kesalahan itu yang dilakukan Karen antara 7 Julai 2018 hingga 14 Ogos 2019 di beberapa bank tempatan iaitu Puchong dan Cyberjaya, Sepang, Selangor.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, suami isteri berkenaan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide dan Allan Suman Pillai menawarkan ikat jamin RM70,000 terhadap Chia Whey dengan seorang penjamin dan pasport diserah kepada mahkmah, bagi semua pertuduhan selepas mengambil kira nilai transaksi yang terlibat.
Manakala Karen pula ditawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserah kepada mahkmah, bagi semua pertuduhan selepas mengambil kira nilai transaksi yang terlibat.
Hakim membenarkan tertuduh, Chia Whey dan Karen, masing-masing diikat jamin RM50,000 dan RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserah kepada mahkamah.
Sementara itu, Chia Whey juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada Choong Wai Loong membabitkan wang tunai RM232,593 pada 24 Mei 2019.
Wang sogokan itu sebagai balasan bagi membantu syarikat KK Choong Synergy Sdn Bhd untuk mendapatkan sub-kontrak merekabentuk dan membina beberapa stesen minyak di Melaka Tengah, Tanjung Karang Selangor, Tebrau Johor dan Ijok Kuala Selangor.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, Chia Whey didakwa mengikut Seksyen 16(A)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Bagi kesalahan ini, hakim membenarkan tertuduh diberi ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan passport diserahkan kepada mahkamah.
Hakim menetapkan 19 April ini bagi sebutan semula bagi kesemua pertuduhan termasuk AMLA dan Akta SPRM. – MalaysiaGazette