Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membenarkan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilftri beroperasi bermula 1 Ramadan ini, tetapi dengan syarat dan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat.

Selain itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan berita gembira kepada umat Islam iaitu membenarkan mereka menunaikan solat Sunat Tarawih.

Katanya, walaupun Ramadan akan tiba kira-kira satu bulan dari sekarang, ada beberapa persediaan yang perlu dilakukan oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) dari sekarang.

“Dalam mesyuarat hari ini, KKM telah memberi pandangan untuk bersetuju membenarkan Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi. Serentak juga dengan membenarkan solat Sunat Tarawih.

“Antara syarat dibenarkan itu, lokasinya mesti terbuka, sediakan jalan sehala keluar dan masuk, pendaftaran MySejahtera dan adakan kawalan jumlah pengunjung.

“Bazar Ramadan kita benarkan beroperasi dari jam 3 petang hingga 8 malam, dan Bazar Aidilfitri dari jam 8 malam hingga 12 malam, manakala sudut lokasi dan jumlah gerai termasuk jaraknya akan ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19, di sini, hari ini.

Menjawab soalan media, mengenai kompaun RM10,000 yang dikenakan bawah Ordinan Darurat, Ismail Sabri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan masih dalam perbincangan dengan KKM petang ini.

Secara umumnya, kompaun RM10,000 itu adalah kadar maksimum, dan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) diberi kuasa sepenuhnya untuk mengurangkannya mengikut budi bicara atau kes.

Sebagai contoh, katanya, jika yang dikenakan kompaun oleh polis itu adalah rakyat berpendapatan kecil dan kesalahannya tidak memakai pelitup muka, mereka boleh membuat rayuan kepada PKD untuk mengurangkannya.

“Kita dengar ramai keliru dengan kompaun RM10,000. Kononnya, ia akan dikenakan untuk setiap kesalahan.

“Sedangkan Ketua Polis Negara dan saya sendiri sudah menjelaskan, RM10,000 itu maksimum dan PKD boleh kurangkan kompaun berdasarkan kesalahan. Merekalah berkuasa kurangkan kompaun.

“Bagaimanapun, kerajaan sudah bersetuju untuk KKM dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat perincian dari segi kesalahan dan hukuman,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast