Shahaniza Shamsuddin

KUANTAN – Lima warga emas disahkan positif Covid-19 antara kes terbaharu yang dikenal pasti sebagai Kluster Jalan Warga Emas di Pahang.

Manakala 200 lagi didapati negatif selepas dikesan melalui saringan kepada 265 penghuni Rumah Orang Tua Sang Riang di Bera.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, saringan ujian pengesahan Covid-19 dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Bera melibatkan semua penghuni berusia dari 60 hingga 92 tahun pada 11 Mac lalu.

Justeru bagi menangani penularan wabak dari kluster tersebut, Pusat Rumah Orang Tua Sang Riang ditutup bermula 13 Mac lalu kepada lawatan orang awam dan hanya petugas serta sukarelawan dibenarkan keluar masuk, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penghuni yang sah dijangkiti Covid-19 telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh untuk menerima rawatan manakala selebihnya dipantau sendiri di pusat jagaan berikutan tiada waris dengan memakai gelang merah jambu.

“Mereka yang disahkan positif tidak bergejala dan dilaporkan stabil menerima rawatan di HOSHAS manakala 260 penghuni lain terus dipantau di premis rumah orang tua.

“Daripada jumlah 260 penghuni orang tua, 80 terlantar sakit,131 mengalami masalah mental, 10 lagi boleh pengurusan kendiri dan 39 memerlukan rawatan khas.

“PDRM, ATM, Rela akan memantau supaya tiada aktiviti keluar masuk di pusat ini kecuali petugas dan sukarelawan yang dibenarkan,” kata Shahaniza.

Bagi memastikan kebajikan semua penghuni yang dikuarantin terjaga rapi, katanya, pelbagai langkah disusun oleh kerajaan bagi operasi menjaga kesemua warga emas yang dikuarantin.

“Kumpulan sukarelawan daerah daerah Bera, Temerloh dan Kuantan turun membantu secara berjadual di kompleks penempatan warga emas tersebut.

“Kerajaan juga mengenal pasti empat buah hospital yang berhampiran bagi membantu penghuni mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan seperti Hospital Jengka, Muadazam dan Bentong selain daripada HOSHAS.

“JKM Pahang membekalkan makanan lima kali sehari dan memperutukan geran bantuan secara terus bernilai RM60,000 menampun kos pengurusan.

Menurut Shahaniza, Rumah Orang Tua Sang Ria beroperasi semula sehingga pihak kesihatan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan golongan tersebut memandangkan mereka berisiko.

“10 Pegawai Kesihatan Daerah turut bertugas bagi memastikan kebersihan kawasan sekitar dan kebesihan kawalan kendiri supaya terurus,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast