WASHINGTON – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan dua yang lain cedera dalam kejadian tembakan yang berlaku di tiga spa berlainan di Georgia, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Menurut akhbar tempatan, The Atlanta Journal-Constitution (AJC), tiga wanita telah dilaporkan mati di tempat kejadian di Gold Spa, Atlanta.
“Manakala, seorang terbunuh di seberang jalan di spa Aroma Therapy dan tiga lagi mati ditembak di Young Massage Parlor Young di Acworth.
“Namun, motif di sebalik penembakan itu masih belum jelas,” menurut akhbar AJC.
Sementara itu, polis berkata, empat daripada kesemua mangsa tersebut adalah wanita dan difahamkan berketurunan Asia.
“Kami masih lagi sedang menyiasat ketiga-tiga kes tembakan itu tetapi masih tidak dapat disimpulkan jika suspek saling berkaitan atau dilakukan oleh orang yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Sheriff Cherokee juga menggesa penduduk agar tidak menggunakan jalan Bells Ferry dan Highway 92 kerana siasatan sedang dijalankan di kawasan itu. -MalaysiaGazette