Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam peringkat akhir penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam peringkat akhir penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.

Melalui perundangan itu, katanya profesion kerja sosial itu akan diiktiraf melalui pendaftaran dan perakuan amalan yang dikawal selia oleh Majlis Profesion Kerja Sosial.

“Penggubalan Rang Undang-Undang ini penting bagi mendepani cabaran sosial dan bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas yang rentan, orang kurang upaya dan golongan memerlukan,” katanya.

Rina berkata demikian pada Malam Apresiasi Pekerja Sosial yang diadakan sempena sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2021 semalam, dalam kenyataan dikeluarkan KPWKM hari ini.

Sehingga Disember 2020, terdapat 3,814 pegawai skim sosial pelbagai gred yang berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam skop tugas pekerja sosial yang melibatkan pengurusan kes kepada kumpulan sasar.

Kerja sosial adalah aktiviti yang dijalankan oleh seorang pekerja sosial profesional terlatih bagi meningkatkan kesejahteraan dan kefungsian sosial individu, keluarga, kumpulan, organisasi atau masyarakat.-BERNAMA