Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Hari ini, genap satu tahun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19 selepas dikesan merebak ke negara ini pada Januari 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui, dalam tempoh setahun itu pelbagai cabaran ditempohi kerajaan mahupun rakyat.

Namun, katanya, dalam perjuangan yang getir, kerajaan pernah melandaikan kes positif kepada sifar, tetapi dikesan meningkat pada Disember lalu.

“Dengan kejayaan pernah kita capai, tidak mustahil kita boleh berjaya lagi, tetapi ianya memerlukan kerjasama antara satu sama lain.

“Ini terbukti apabila dalam tempoh dua bulan PKP 2.0 dilaksanakan dan berkat kesabaran semua pihak, hari ini kita menuju kejayaan,” katanya pada sidang media mengenai laporan Covid-19 harian di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) pernah merekodkan kenaikan kes positif antara 4,000 hingga 5,000 kes sehari, malah pernah mencapai lebih 5,000 kese sehari.

Bagaimanapun, ujar beliau, kini kes positif itu telah menunjukkan trend menurun ke paras 1,000 kes setiap hari.

Beliau yakin, trend kes akan turun lagi pada masa akan datang dan ditambah pula dengan program imunisasi vaksin yang dilakukan kerajaan pada penghujung Februari lalu.

“Kerajaan sedar impak dari pandemik ini menyebabkan rakyat terkesan dan ada yang hilang punca pendapatan.

“Namun, pelbagai insentif dan bantuan diperkenalkan kerajaan termasuk program Pemerkasa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Bantuan ini bagi meringankan beban rakyat dan merangsangkan semula ekonomi negara,” katanya.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa penat lelah menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Terima kasih juga kepada rakyat yang sentiasa patuh SOP bagi membolehkan kita melandaikan lekuk dengan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette