KUANTAN – Usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri Tok Gajah terus diperkasakan apabila Menteri Besar Pahang mengumumkan “This Is Pahang” (‘Inilah Pahang’) sebagai tema baharu pelancongan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tema kelapan dipilih sebagai langkah penjenamaan yang juga sinonim dengan tema kerajaan negeri iaitu ‘Pahang 1st’.
Langkah itu bagi menghidupkan industri pelancongan di Pahang yang menyaksikan penurunan drastik pelancong sebanyak 46.87% akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.
Sektor pelancongan negeri Pahang menyaksikan kerugian sebanyak RM5.8 billion dengan jumlah pelancong 7.43 juta pada tahun lalu berbanding 13.99 juta orang pada tahun 2019.
Oleh itu, katanya, penjenamaan baharu yang diusahakan ini tepat pada waktunya demi menaikkan kembali sektor pelancongan negeri pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
“Terkini, kita berbangga apabila Menara Kuantan 188 telah siap dan dibuka kepada umum.
“Selain itu, ‘landmark’ (mercu tanda) terbaharu ini seperti Bandaraya dan Lorong Seni bakal menjadi tumpuan utama pelancong ke Kuantan.
”Pelbagai langkah progresif dan dinamik dalam mempromosikan pelancongan Pahang seperti pemasangan papan iklan,” kata
Wan Rosdy ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang Di Auditorium UCYP Tanjung Lumpur, dekat sini.
Pahang sebelum ini menggunakan tema ‘Pahang Simply Awesome’ sejak tahun 2019 bagi mempromosikan sektor pelancongannya.
Antara tema lain yang pernah digunakan Hogoh Pahang, Panaramic Pahang, Promise Adventure Holidays, Nature Gateways, Come to Nature Dan Gateway to a Complete Tropical Experience. – MalaysiaGazette.