Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) melawat kaunter pendaftaran MyKad pada Perasmian Bas Mobile JPN di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memiliki MyKad palsu supaya bertindak menyerah diri sebelum penggunaan Inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) diperkenalkan pada tahun ini.

Hamzah berkata, warga asing yang mempunyai MyKad palsu dinasihatkan supaya balik ke negara asal sebelum mereka  dipanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Mereka yang ada fake IC (MyKad palsu) jika tahu negara asal, balik secepat mungkin kerana selepas kita guna kaedah digital IC ini kita akan panggil mereka.

“Kalau ada fake IC dan pergi bank kemudian letak cap jari, kita boleh kesan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian ‘Bas Mobile’ JPN Generasi Baharu di kementeriannya, hari ini.

Tahun lalu, KDN menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meneliti cadangan berkaitan pelaksanaan IDN yang seiring perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, kerajaan memahami isu dihadapi orang ramai yang dikehendaki mengemukakan kad pengenalan bagi urus niaga tertentu termasuk ketika berurusan di JPN.

IDN akan digunakan sebagai platform pengesahan yang boleh dimanfaatkan oleh individu, sektor awam dan swasta untuk pengesahan identiti pengguna ketika melakukan transaksi secara digital.

Bagaimanapun, inisiatif IDN ini tidak akan menggantikan penggunaan dan fungsi MyKad fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast