Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan tindakan kerajaan  yang masih belum memanggil sidang Dewan Rakyat walaupun selepas kesemua ahli Parlimen sudah menerima vaksin.

“Perlu 28 hari untuk notis. Namun hingga kini masih tiada notis diterima. Apa masalah (tak buka sidang Parlimen) jika MP sudah divaksin?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Semalam, beliau berkata, semakin ramai rakyat bersuara mempersoal tindakan kerajaan yang telah membenarkan sektor-sektor tertentu dibuka seperti pendidikan dan ekonomi termasuk bazar Ramadan.

Ahmad merujuk kepada kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

Ahmad merupakan salah seorang ahli Parlimen yang lantang bersuara selain bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar sidang Parlimen dibuka setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat, pada suatu tarikh difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, keputusan Agong itu dibuat selepas menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat , Datuk Seri Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada 24 Februari lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Satu lagi insan yg tak reti. Ko ingat dah suntik, ko kebal ker dr Covid? Jangkit jugak laaaa mat lann oi. Cuma kesan dia tak teruk mcm xamik vaksin.

Comments are closed.