Kakitangan Kedutaan Korea Utara membawa bagasi selepas tiba ke lapangan terbang KLIA 1 sebelum menaiki pesawat komersial syarikat Shanghai Airlines penerbangan FM0886 ke Pudong, China susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2021.

SEPANG – Seramai 30 orang kakitangan Kedutaan Korea Utara di sini dijadualkan pulang ke negara asal mereka, petang ini.

Kesemua mereka akan menggunakan penerbangan transit Shanghai Airlines ke Pudong, China sebelum ke Pyongyang.

Mereka menaiki penerbangan FM0086 menggunakan pesawat Shanghai Airlines.

Seramai 30 warga Korea Utara itu tiba di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Mereka akan memasuki pintu berlepas C6 sebelum pukul 4.10 petang.

Pada Jumaat lalu, Putrajaya mengarahkan semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dan ahli keluarga meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Tindakan tegas itu diambil selepas Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia ekoran seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast