Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Dua pemain muda berbakat negara Luqman Hakim Shamsuddin dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman menjadi aset penting kepada skuad kebangsaan terutama dalam memberi nafas baharu di bahagian serangan.

Menjelang misi penting pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang sudah meledak lapan gol dalam lima perlawanan, kini mahukan jaminan jentera serangan yang lebih ampuh.

Prestasi dipamerkan Luqman Hakim, 19, yang kini berkelana ke Belgium bersama kelab KV Kortrijk dan Muhammad Ramadhan, 20, yang mencipta nama bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) ternyata memikat hati Cheng Hoe yang kini bersedia memberi peluang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

Bagi Cheng Hoe, faktor umur bukan penghalang seseorang pemain untuk berada dalam pasukannya dan beliau teruja untuk menguji kemampuan kedua-dua pemain itu yang telah berada dalam pemerhatiannya sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Kita nampak mereka ada potensi yang besar untuk menjadi sebagai penyerang utama skuad kebangsaan di masa hadapan. Bagi saya walaupun umur 16 atau 35 kalau boleh beri sumbangan kepada pasukan saya langsung tidak ambil kira,” katanya kepada Bernama.

“Apa yang penting apabila datang ke pasukan kebangsaan boleh bekerja sebagai satu pasukan dan saling menghormati. Itu kunci kejayaan pasukan. Kita tidak boleh hanya terlalu fokus terhadap kebolehan individu sahaja,” tambah beliau.

Buat pertama kali, Luqman Hakim dan Muhammad Ramadhan dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara yang bermula Isnin ini di Johor Bahru sekali gus bakal memberi pilihan lebih banyak kepada Cheng Hoe dalam mengatur strategi pasukan.

Meskipun hanya membuat satu penampilan bersama skuad utama KV Kortrijk setakat ini, Cheng Hoe berkata perkembangan positif Luqman Hakim dapat dilihat menerusi sesi latihan dan ketika beraksi buat skuad Bawah 21 (B-21) pasukan itu.

“Terdapat kemajuan dan peningkatan dari segi keyakinan beliau (Luqman Hakim), selain beliau juga menunjukkan kematangan yang saya fikir dapat menguatkan skuad kebangsaan,” jelas pengendali berusia 52 tahun itu.

Sementara itu, Cheng Hoe mengakui teruja dengan kemampuan dimiliki Muhammad Ramadhan dalam kempen Liga Super musim lepas setelah mencetak empat gol dalam tujuh perlawanan dan memenangi kejuaraan Liga Super pertamanya bersama JDT.

“Kita nampak dari segi kekuatan beliau apabila masuk ke dalam perlawanan dan berani berdepan serta menggelecek pihak lawan, beliau juga ada kelajuan, kita mengharapkan sesuatu daripada Muhammad Ramadhan,” katanya.

Setakat ini, enam daripada keseluruhan lapan gol dijaringkan skuad negara pada kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 telah disumbangkan pemain di bahagian tengah pasukan.

Tiga daripadanya dijaringkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh sementara tonggak JDT Muhammad Safawi Rasid dan ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan masing-masing mencetak dua dan satu gol.

Penyerang JDT Muhammad Syafiq Ahmad muncul penyerang tunggal dalam pasukan negara yang berjaya mencetak nama sebagai penjaring dengan mengumpul dua gol.

Malaysia dijadual meneruskan baki saingan aksi kelayakan yang tertangguh lebih setahun susulan penularan pandemik COVID-19 secara berpusat menentang UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun), kesemuanya di UAE.- BERNAMA