Reezal Merican ketika ditemui pemberita di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap harga tiket perlawanan bola sepak dikekalkan buat masa ini.

Namun, Reezal Merican menyerahkan keputusan kenaikan harga tiket bola itu kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Katanya, tugas beliau kini memastikan penonton kembali ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Malaysia.

“Soal harga tiket tiada dalam perbincangan kita setakat ini. Apa yang ditekankan sekarang menyakinkan penonton untuk melihat perlawanan di stadium.

“Mungkin MFL ada justifikasi mereka berhubung isu ini kerana merupakan penyedia Liga Super dan Liga Malaysia.

“Cuma bagi saya dalam keadaan negara sebegini biarlah harga tiket kekal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penyokong bola sepak mungkin berdepan kenaikan tiket perlawanan pada kadar RM5 hingga RM10 selepas dibenarkan untuk kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ini susulan beberapa pasukan Liga M memberi bayangan untuk menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaan untuk menampung kos tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette