Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Prestasi pengadil Liga Malaysia yang menjadi perbualan sejak kebelakangan ini mencuri perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi laman media sosial Instagram Story miliknya, TMJ menggesa pengelola liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mempertimbangkan penggunaan Video Assistance Referre (VAR).

Khidmat VAR ketika digunakan di negara maju seperti Eropah selain dalam saingan Thai League 1 yang bermula musim 2020/2021.

Selain itu, saingan J. League juga sudah mula menggunakan khidmat tersebut bagi meningkatkan lagi kualiti pengadilan di negara tersebut.

Malam tadi, pengadil perlawanan antara Perak menentang JDT, Noor Azriel Baharudin dilihat telah membuat beberapa keputusan yang dianggap merugikan kedua-dua pasukan pada aksi yang berlangsung di Ipoh, Perak.

Antara insiden yang gagal dikesan oleh Azrieal ialah kekasaran yang dilakukan terhadap Bergson Da Silva dan Arif Aiman dalam kawasan penalti Perak.

Selain itu, Azriel turut gagal mengesan kesalahan yang berlaku ketika gol kedua Perak dijaringkan oleh Guilherme De Paula pada separuh masa kedua. – MalaysiaGazette