KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menyediakan ‘Tong Sampah Kalis Monyet’ dalam menjamin kebersihan pantai Teluk Cempedak, sejajar dengan fokusnya menjadikan ia  destinasi pantai pilihan pelancong.

Menurut Pegawai Perhubungan Majlis Bandaraya Kuantan, Norkamawati Kamal, tong sampah itu merupakan hasil inovasi rekaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif dari Jabatan Landskap MBK tahun lalu.

Sebagai langkah permulaan, MBK meletakkan enam buah tong bernilai RM300 satu di sepanjang persisiran pantai bagi memupuk kesedaran membuang sampah secara beretika kepada pengunjung.

Ciri tong sampah ini yang strukturnya licin dan tertutup rapi berbanding tong sampah biasa diyakini mampu menyelesaikan masalah monyet daripada mengaut sampah dari tong.

Tambahan pula, reka bentuk dinamik dan mesra pengguna juga menambah seri landskap Teluk Cempedak.

Tong sampah ‘stainless steel’ itu menggunakan motif kartun popular.

Norkamawati berharap tong sampah ini dapat membendung isu sampah yang bersepah akibat diselongkar oleh monyet-monyet yang berkeliaran.

“Pantai Teluk Chempedak memang terkenal dengan keindahan persisiran pantai semula jadi yang memukau pengunjung, namun isu sampah bersepah dikerumuni monyet di hutan simpan bersebelahan merencatkan pemandangan.

“Kita hendak menyelesaikan masalah tong sampah yang sedia ada, yang mana penutup tong dibuka tetapi monyet tidak boleh akses ke dalam tong.

“Rata-rata pengunjung suka memberi monyet makan, tetapi apabila lapar sekumpulan monyet akan menyelongkar tong sampah mecari makanan sehingga sampah bertaburan sekelililng.

“Tong sampah ini praktikal untuk orang ramai dan tidak boleh dibuka oleh monyet atau kaut sampah kerana terhalang oleh petak bahagian atas.” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kiosk pakaian dikenali Noraz menyifatkan usaha oleh MBK ini efektif dapat mengurangkan sampah-sarap bersepah di ruang bangku dan persisiran pantai.

Beliau yang berniaga di Teluk Chempedak lebih dari lapan tahun berpuas hati dengan langkah dan pelbagai usaha untuk mengindahkan tempat yang menjadi destinasi utama pelancongan di Kuantan

“Teluk Chempedak makin lama, makin cantik, kemudahan awam makin banyak dan tong sampah baharu ini boleh atasi masalah kera liar kerana tidak dapat membuka tong sampah baru ni.

Teluk Cempedak merupakan pusat peranginan bukan sahaja popular di kalangan pelancong domestik mahupun luar negara bahkan pengunjung tempatan di Bandaraya Kuantan.

Meskipun papan tanda sudah dipacak tentang larangan memberi makan kepada haiwan tersebut, namun ia seperti tidak diendahkan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast