KUANTAN – Sebuah trak polis yang membawa 29 orang kena tuduh (OKT) terbakar selepas bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan di Jalan Demit, di Kubang Kerian dalam kejadian jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kejadian itu berlaku apabila penunggang motosikal melanggar belakang sebuah kereta Proton Saga.
Perlanggaran itu mengakibatkan penunggang terpelanting ke arah bertentangan lalu bertembung dengan sebuah trak polis yang dalam pejalanan dari IPD Kota Bharu ke Kuala Krai.
Motosikal yang ditunggang mangsa pula terpelosok di bawah trak polis lalu mengakibatkan kebakaran dan memusnahkan bahagian hadapan kenderaan tersebut.
Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Shafien berkata, siasatan awal kejadian mendapati penunggang motosikal melanggar kereta Proton Saga menyebabkan dia terbabas lalu melanggar trak polis.
“Pemandu trak Black Maria telah membrek sejauh lebih 50 kaki dan ada kesan tayar brek, namun tidak dapat mengelak.
“Motosikal terbabas lalu terperosok ke bawah Black Maria menyebabkan kebakaran, memusnahkan dua-dua kenderaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Difahamkan dua trak polis itu dalam perjalanan ke pusat transit penerimaan Kuala Krai dengan masing-masing membawa 29 OKT dalam trak pertama dan 31 OKT dalam trak kedua bersama 10 anggota polis.
Walau bagaimanapun, polis yang mengiring dan 29 OKT terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Malah, wanita yang memandu Proton Saga juga selamat.
Mangsa, Muhammad Khalis Mifzal Mohd Kamal, 20 tahun, bekerja sebagai pembantu kedai makan dan ketika kejadian, dia yang memiliki lesen L dikatakan dalam perjalanan ke pusat memandu.
Mayat mangsa di bawah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette