Setiausaha Agung MUDA, Amir Hadi bercakap kepada media selepas menghantar memorandum isu kartel PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) didesak mendedahkan nama individu-individu dipercayai melibatkan ahli politik dan ahli perniagaan termasuk bekas ketua polis negara yang didakwa mendalangi gerakan kartel dalam pasukan beruniform itu.

Setiausaha Agungnya, Amir Abdul Hadi berkata, mereka yang terbabit dengan gerakan ini perlu dihadapkan ke mahkmah bagi memastikan PDRM tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu.

“Kita percaya disebut oleh Ketua Polis Negara tentang kartel ini bukan hanya bekas pegawai tertinggi termasuk ketua polis, tetapi kita percaya di belakangnya ada ahli-ahli politik dan ahli-ahli perniagaan.

“Kita mahukan mereka ini dibawa ke muka pengadilan dan apabila sudah disebut oleh Ketua Polis Negara, kita percaya tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu kira-kira 10 ahli Parti MUDA menghantar memorandum dan sejambak bunga ros merah kepada Bukit Aman menggesa satu siasatan bebas mengenai pendedahan kartel dalam PDRM dilakukan segera.

Memorandum itu diterima oleh Urusetia Ketua Polis Negera (Bahagian Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Asisten Superintenden Engku Nurul Aini Engku Malek.

Khamis lalu Abdul Hamid membuat pendedahan tentang wujudnya dalam kalangan polis muda yang bercita-cita untuk menjatuhkannya dari dalaman.

Menurutnya, gerakan tersebut merupakan golongan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Dalam pada itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis ataupun membuat serahan memorandum sama kepada Kementerian Dalam Negeri sekiranya perkara itu mahu didiamkan.

“Kita menyeru seluruh rakyat Malaysia tak kira bangsa agama parti politik untuk sama-sama berada di belakang ketua polis negara untuk pastikan isu ini dapat kita tangani sehingga semua yang dipanggil sebagai kartel-kartel ini dapat kita tumpaskan.

“Kalau kita lihat ada tangan-tangan yang cuba mendiamkan perkara ini, kemudian kita akan ambil tindakan sama ada kita serah memorandum kepada KDN atau kita buat laporan polis dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast