KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merujuk kes membabitkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa ke Jawatankuasa Tatatertib susulan tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil Noor Azriel Baharudin selepas tamat perlawanan Perak dan JDT kelmarin.

Pada masa sama, FAM memutuskan Noor Azriel akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM meskipun prestasinya memuaskan kerana masih ada penambahbaikan perlu dibuat.

Sementara itu, Khirulazuan Kidam menjadi pengadil kedua Liga Malaysia (Liga M) yang digantung musim ini susulan prestasi kurang memuaskan ketika mengadili aksi antara Sabah FC menentang Terengganu (TFC), kelmarin.

Keputusan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang mengesahkan pengadil itu digantung daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta merta dan turut ‘diturunkan pangkat.’

“Pengadil terbabit didapati menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang perlawanan berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan itu.

“Justeru, pengadil itu dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah.

“Pengadil terbabit hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan,” kata kenyataan FAM itu.

Ini bukan kali pertama Khirulazuan digantung kerana pada 2016, pengadil itu pernah digantung selama tiga bulan oleh FAM kerana gagal membuat keputusan dengan tepat ketika aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia antara T-Team dengan FELDA United yang berkesudahan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sebelum ini, pengadil perlawanan antara PJ City FC menentang Melaka United (MU), Mohd Fairuzi Mat Desa turut digantung dua minggu atas kesilapan gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi dalam kotak penalti MU dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC. – MalaysiaGazette