Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri yang didakwa menggunakan alasan urusan perniagaan untuk merentas negeri dan berbulan madu di Sabah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pasangan itu masih berada di Sabah dan akan dipanggil serta dirakam keterangan sejurus mereka kembali ke Semenanjung.

Katanya, pada jam 5 petang 20 Mac lalu seorang lelaki berusia 27 tahun datang ke Balai Polis Setapak untuk memohon kebenaran rentas negeri ke Sabah atas alasan urusan perniagaan.

“Dia telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat sebagai bukti menyokong alasan rentas negeri itu.

“Berdasarkan dokumen tersebut, pihak polis telah meluluskan permohonan rentas negeri yang bermula pada 21 hingga 25 Mac 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dua hari kemudian, iaitu 22 Mac lalu, gambar lelaki berkenaan bersama isterinya berusia 31 tahun tular di laman media sosial.

Katanya, pasangan itu dikatakan pergi berbulan madu di kawasan peranginan di negeri tersebut.

Ujarnya, gambar pasangan itu yang tular di laman media sosial mencetuskan pertikaian orang ramai yang mempersoalkan bagaimana pasangan tersebut mendapat kebenaran rentas negeri ke Sabah.

“Setakat ini, pasangan tersebut masih berada di Sabah dan mereka berdua akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis sebaik sahaja mereka kembali ke Semenanjung.

“Malah polis juga akan menjalankan siasatan yang terperinci dan sekiranya pasangan ini didapati memberikan keterangan palsu untuk merentas negeri, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast