Zulkarnain Mahdar.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerakan Bangkit Sabahan tidak teragak-agak untuk bertembung kumpulan mahasiswa  Universiti Sabah Malaysia (UMS) pada perhimpunan aman berasingan di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 dan 22 Jun ini.

Ketua Penasihatnya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan balas itu sebagai membantah hasrat sekumpulan pelajar berkenaan yang nekad menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0.

Beliau berkata, lebih biadap tindakan kumpulan pelajar itu yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

“Gerakan Bangkit Sabahan akan menganjurkan perhimpunan aman dengan tema ‘Sabah For Sabahan’ di lokasi dan tarikh sama dengan perhimpunan kumpulan pelajar tersebut.

“Kami akan gerakkan seramai 15,000 peserta untuk turun ke jalanan dengan menampilkan tokoh politik terkenal Sabah dan Sarawak beraksi di pentas utama sebagai pemidato utama,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah terdiri daripada gerakan mahasiswa dan rakyat Sabah merancang untuk mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 di sekitar Kota Kinabalu pada 21 dan 22 Jun ini.

Sekretariat itu menerusi kenyataan pada 17 Mei lalu berkata, ia bukan sekadar perhimpunan bahkan satu amaran keras mana-mana pihakyang menghancurkan Sabah demi kekayaan peribadi.

Kumpulan pelajar itu membawa tiga tuntutan antaranya membantah pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kerana pernah dikaitkan dengan skandal kewangan bernilai ratusan juta ringgit sebelum ini.

Selain itu, mereka juga mendesak UMS mengheret Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ke mahkamah kerana kegagalan agensi kerajaan itu menangani krisis air hingga menjejaskan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbabit.

Zulkarnain juga berkata, perhimpunan aman itu penting bagi menyatakan solidariti rakyat Sabah kepada Datuk Seri Hajiji Noor agar tidak gentar mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

“Ketua Menteri juga mempertahankan institusi Istana Negeri Sabah agar tidak terus dipolitkkan dan dihina oleh orang-orang suruhan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast