Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan, penggunaan kalimah Allah dalam kitab bible terjemahaan bahasa Melayu dilarang sama sekali penggunaannya di negeri itu.

Tegas baginda, walaupun dalam apa percetakan, buku dan tulisan agama Kristian sekalipun, penggunaan kalimah Allah tetap dilarang.

“Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun demikian, jika perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”, beta tiada halangan atas penggunaan perkataan itu (Tuhan),” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Mahkamah Tinggi telah membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, sebagaimana diputuskan dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama bukan Islam yang lain.

Justeru, titah baginda, menjadi kewajiban bagi orang Islam untuk menyekat penggunaannya jika terdapat unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah.

“Beta menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutama di Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan dalam apa juga keadaan sekalipun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat beta yang bukan beragama Islam di Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana diperuntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam, 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

“Ini termasuk larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah enakmen itu bagi tujuan komersial dan tujuan menamakan tempat perniagaan atau bangunan,” titahnya.

Sebagai ketua agama Islam Selangor, baginda menegaskan, akan tetap mempertahan dan memelihara kesucian kalimah Allah kerana ia menjadi tuntutan agama serta tanggungjawabnya.

Baginda bertitah, apa gunanya menjadi ketua agama Islam Selangor jika gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka beta juga menggesa agar penganut agama, selain Islam untuk menghormati penganut Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.

“Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meminta kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan itu dan menyeru agar perkara sama dilakukan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.