Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kerja Raya mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara waktu di tapak pembinaan Lebuhraya Sg Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras susulan sebuah kren pembinaan jatuh tidak memadai.

Ketua Penyelaras, Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat & Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan itu tidak memberi keyakinan kepada rakyat susulan orang ramai masih berdepan dengan risiko di tapak pembinaan lebuh raya lain.

“Dua kemalangan dalam tempoh kurang dari sebulan yang mengakibatkan kematian dan kecederaan parah pengguna jalan raya sudah tentu memerlukan tindakan-tindakan yang lebih daripada itu.

“Walaupun terdapat pekerja-pekerja yang mengawal namun malang tidak berbau seperti mana kejadian pada 22 Mac lepas. Ada kes di mana papan tanda disediakan namun lambat disedari pemandu boleh mengakibatkan kemalangan.

“Begitu juga mereka yang memandu di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur dari Jalan Ampang hingga ke Taman Setiawangsa. Mereka menghadapi risiko kerana terpaksa melalui kerja-kerja pembinaan lebuh raya di atas kepala mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 Mac lalu, tiga pekerja asing maut sementara seorang pemandu kereta cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai, Cheras.

Pada 3 Mac pula, satu kemalangan maut telah melibatkan lebuh raya sama berhampiran Desa Tun Razak.

Dua wanita maut dan tiga lagi cedera parah apabila sebahagian daripada jejambat dalam pembinaan jatuh menghempap van kilang yang mereka naiki akibat dilanggar oleh treler yang membawa jentera berat.

Iskandar mendedahkan terdapat banyak pembinaan yang dijalankan di seluruh Lembah Kelang sama ada untuk projek lebuh raya mahupun projek Transit Aliran Deras Lembah Klang (MRT) yang sedang berjalan.

“Selain daripada itu terdapat banyak lagi projek-projek kediaman atau komersial yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

“Bukan sahaja dua kes yang berlaku di tapak kerja-kerja SUKE ini yang meragut nyawa tetapi terdapat kes-kes lain yang melibatkan tapak-tapak pembinaan.

“Selalunya rakyat tidak akan begitu cemas apabila kes-kes ini melibatkan hanya pekerja-pekerja tapak tersebut walaupun sebarang kehilangan nyawa perlu dipandang serius,” katanya.

Memandangkan ia melibatkan orang awam yang hanya secara kebetulan berada di tempat kejadian, rakyat sudah tentu akan menuntut tindakan-tindakan yang drastik.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain dari kes-kes kematian di SUKE bulan ini, terdapat sekurang-kurangnya 15 kes kemalangan maut yang melibatkan tempat pekerjaan sejak 1 Disember 2020 di negara kita.

“Kes-kes ini adalah yang dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan mungkin terdapat kes-kes lain yang tidak laporkan,” katanya.

Iskandar turut tidak menafikan ada cadangan daripada pakar agar prosedur operasi standard (SOP) dikaji semula supaya mereka yang bertanggungjawab menguruskan projek termasuk pekerja-pekerja biasa diberikan kesedaran melalui pelbagai kursus.

“Memang SOP perlu dikaji semula dan diperketatkan kerana bagi sesiapa yang pernah melalui tapak pembinaan lebuhraya sudah tentu tidak akan merasa selamat.

“Di salah satu tapak pembinaan yang pernah saya bertugas, seorang pekerja Indonesia telah maut apabila penyambung peranca (scaffolding) sepanjang 8 inci terjatuh dari tingkat atas dan mengenai kepalanya.

“Justeru itu bukan sahaja kren atau kepingan konkrit boleh membunuh tetapi tukul besi yang jatuh dari aras yang tinggi boleh membunuh,” dedahnya.

Menurutnya, kesedaran terhadap keselamatan melalui kursus-kursus dan taklimat-taklimat juga penting susulan kebanyakan pekerja-pekerja adalah warga asing.

“Kursus ini penting bagi mereka. Saya sentiasa berhati-hati apabila melihat seorang warga asing mengawal trafik pada jalan yang telah menjadi satu lorong di mana kenderaan dari kedua-dua hala terpaksa menunggu giliran mereka.

“Kadang-kala terdapat pemandu yang enggan berhenti walaupun pekerja telah mengangkat bendera merah. Akibatnya kereta boleh bertembung. Mengangkat bendera juga perlu ada teknik.

“Negara kita memiliki Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang khusus untuk menangani isu kesihatan dan keselamatan pekerjaan,” katanya.

Katanya lagi, kesemua akta dan agensi ini tidak bermakna jika tiada pemantauan terperinci lagi tegas, pendakwaan serta hukuman yang menginsafkan.

“Pemantauan pula mestilah oleh kerajaan dan bukan pemantauan dalaman. Tidak ada guna SOP yang ketat jika tidak dikuatkuasakan,” katanya.

Selain itu, perancangan bandar-bandar terutamanya di Lembah Klang boleh dipertikaikan di mana segala-galanya dilakukan seolah-olah secara serentak dan ia boleh dilihat daripada pembinaan lebuh raya dan MRT.

“Rakyat tidak dapat melihat ia mampu diuruskan dengan baik dan akhirnya rakyat terpaksa menanggung kesusahan. Anda tidak perlu memandu jauh di Lembah Klang untuk bertemu dengan kerja-kerja lebuhraya, MRT malah pembentungan.

“Ternyata pelaksanaan secara serentak ini menimbulkan masalah kepada rakyat termasuk kesan kepada alam sekitar. Kami tidak berkata ia tidak perlu tetapi ia perlu diuruskan dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette