Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) kecewa dengan sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendiamkan diri mengenai cubaan membunuh Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinetnya.

Kepimpinan PH berkata, Muhyiddin yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri ketika itu tidak mendedahkan perkara tersebut  kepada pengetahuan anggota-anggota Kabinet.

“Kami kesal di atas sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, yang gagal memaklumkan perkara ini kepada pimpinan Pakatan Harapan serta rakyat Malaysia amnya.

“Kegagalan tersebut menimbulkan persoalan motif sebenar perkara ini disembunyikan daripada pengetahuan pemimpin berkenaan dan kerajaan Pakatan Harapan.

“Oleh itu, kami menggesa Tan Sri Muhyiddin untuk memberikan penjelasan di atas perkara ini pada kadar segera,” kata PH dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

PH memberikan respons itu selepas pendedahan dibuat oleh Penolong Pengarah Cawangan Khas Antipengganas (E8), Azman Omar yang memberitahu ada cubaan untuk membunuh beberapa Jemaah Menteri termasuk Dr. Mahathir.

Menteri-menteri lain ialah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Azman turut berkata, individu berkenaan telah ditahan pada bulan Januari lalu yang turut mengakui membuat perancangan tersebut.

Suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas dan merancang serangan tersebut sebagai usaha menunjukkan sokongan terhadap kumpulan militan Daesh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast