Penyanyi, Nabila Razali bergambar selepas majlis penghargaan Big Mouth X Nabila Razali di Taman Mahsuri, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Nabila Razali tidak akan berhenti menyanyi walaupun berdepan insiden terkucil di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) baru-baru ini.

Malah Nabila, 29, menegaskan, dia akan bertanding lagi  di pentas berprestij itu sekali lagi jika ada lagunya tercalon.

“Seperti saya cakap sebelum ini, saya memang suka menyanyi dan tiada apa yang boleh menghalang saya berhenti menyanyi. Kalau saya putus asa nyanyi balada, tidak sebab kita akan cari lagu ikut kemampuan vokal saya dan pilih yang terbaik.

“Malah peluang menyanyi lagi di AJL tidak akan saya tolak kerana itu peluang semua artis idamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran produk kek lapis Big Mouth X Nabila Razali di Hotel Royale Chulan di sini malam tadi.

Penyanyi, Nabila Razali membuat persembahan ketika majlis penghargaan Big Mouth X Nabila Razali di Taman Mahsuri, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2021.

Sebelum ini, penyanyi lagu Peluang Kedua di laman sosialnya ada mengeluarkan hantaran berbunyi ‘but i think, this is it‘ (saya rasa cukuplah) menimbulkan persoalan netizen apabila dikatakan seolah-olah mahu meninggalkan industri seni akibat tidak tahan dengan kecaman pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Razali mengakui menangis selepas selesai membuat persembahan pada malam AJL.

Dia juga berkongsi pengalaman mengambil masa sehari untuk melayan perasaan sedihnya sebelum kembali normal keesokan harinya.

“Tipulah kalau cakap saya tidak menangis, memang saya menangis lepas buat persembahan dan sehari selepas AJL 35 memang saya habiskan masa untuk lepaskan semua kesedihan itu dan kemudian bangkit kembali, apa-apa pun hidup mesti diteruskan,” katanya.

Penyanyi, Nabila Razali (tengah) menyampaikan hadiah penghargaan kepada stokis ketika majlis penghargaan Big Mouth X Nabila Razali di Taman Mahsuri, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2021.

Sementara itu, Nabila turut meluahkan rasa sedih apabila terdapat rakan artis yang memandang rendah kemampuannya dengan mengkritik secara terbuka ekoran kesilapan yang dilakukannya pada malam AJL 35 pada 14 Mac lalu.

Menurut Nabila, insiden yang berlaku itu banyak memberi pengajaran kepada dirinya dalam mengenal erti persahabatan sama ada menjadi kawan atau lawan.

“Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak boleh kawal apa yang akan berlaku… saya sudah berlatih tapi insiden itu dah pun terjadi dan ia di luar kawalan saya.

“Apa yang saya kesal ialah tak sangka orang yang mencari rezeki dalam bidang yang sama turut berbual tentang benda negatif (pasal saya) sedangkan kami berkongsi periuk nasi yang sama.

“Apa yang saya kesal ialah tak sangka orang yang mencari rezeki dalam bidang yang sama turut berbual tentang benda negatif (fasal saya) sedangkan kami berkongsi periuk nasi yang sama.

“Tetapi sekurang-kurangnya apabila jadi insiden macam ini, ia mengajar saya untuk tahu yang mana kawan dan yang mana lawan saya. Ada yang tidak mengenali saya tapi bercakap seolah-olah mengenali saya daripada kecil,” katanya. – MalaysiaGazette