Barisan kepimpinan UMNO sebelum bergabung dengan Bersatu dan Pas.

BERSATU kita bersatu
Dengan setia berganding bahu
Jiwa teguh berpadu
Kita rumpun Melayu

Bersama kita bersama
Mendukung hasrat semua
Berjasa pada bangsa
Agama dan negara

Lambang kita yang gagah
Dipandang mulia dan indah
Bersatu, bersetia, berkhidmat

Cogan katanya
UMNO terus mara
Untuk rakyat Malaysia

Itulah rangkap lagu rasmi UMNO, “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” yang akan berkumandang di Dewan Tun Dr. Ismail, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada pagi Sabtu, 27 Mac ini.

Bezanya kali ini, lagu itu bukan lagi dilaungkan oleh 5,603 perwakilan UMNO termasuk 2,694 perwakilan Bahagian, 976 perwakilan Wanita, 973 Pemuda dan 960 Puteri.

Sebaliknya, ia hanya sekadar dinyanyikan oleh sebahagian kecil Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-ketua sayap parti yang dibenarkan hadir mengikut ketetapan serta kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.

Benar seperti kata seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 ini tidak semeriah PAU 2019, PAU 2018, PAU 2017 dan PAU sebelumnya.

Akar umbi impikan perhimpunan seperti ini pada tahun akan datang.

Bahkan, kami di kalangan media pun akui kelesuan yang akan berlaku. Kami dapat rasakan suasana perhimpunan kali ini agak suram dan muram.

Ini tidak lain, kerana pihak penganjur terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat akibat pandemik Covid-19.

Kalau tahun-tahun sebelumnya, jika hendak membuat liputan PAU di PWTC, Bawah Kolong (BK) memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, iaitu komuter atau LRT.

Semuanya kerana nak elak dari kesesakan jalan raya yang teruk di sekitar bangunan bersejarah bagi orang Melayu itu, selain kesukaran untuk park motosikal atau kereta.

Bagaimanapun, Sabtu dan Ahad (28 Mac) ini, kesesakan jalan raya tidak seteruk sebelum ini kerana lebih 4,000 perwakilan bahagian dan sayap parti serta ahli dan penyokong akan berada di negeri masing-masing untuk mengikuti perhimpunan secara maya.

Selain media dan orang awam, pemimpin UMNO juga merindui suasana terdahulu, dengan suara gegak gempita peniaga-peniaga melaungkan produk jualan masing-masing seperti pesta ekspo.

Suasana lebih bingit pada hari akhir PAU kerana semua peniaga akan melelong barang dengan harga murah dan menjadi rebutan kebanyakan golongan wanita. Ini berlaku setahun sekali, mengalahkan suasana Hari Raya.

Setiap tahun pemimpin dan ahli akar umbi menunggu-nunggu untuk menghadiri PAU. Inilah medan penting tempat pucuk pimpinan mendengar perbincangan, perbahasan, isu dan kucapan perwakilan di bahagian.

Ada yang menyampaikan secara kelakar, tidak kurang juga yang serius dan mahukan suara mereka didengar serta diambil tindakan oleh pucuk pimpinan demi masa depan umat Melayu.

BK difahamkan, beberapa pemimpin kanan Pas yang dijemput telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada perhimpunan itu. Sudah tentu yang ditunggu-tunggu ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinannya.

Kali pertama mereka datang pada PAU 2019, beberapa bulan selepas Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas dimeteraikan. Kedatangan mereka disambut dengan deraian air mata terharu dan gembira orang Melayu serta umat Islam.

Sebabnya, sudah lama kedua parti Melayu ini bermusuh dan baru kali ini mereka bersatu, duduk sepentas berpimpin tangan, berpelukan sebagai tanda persaudaraan.

Ibarat biduk berlalu, kiambang bertaut, sebenarnya ada hikmah dengan kekalahan UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke 14 Mei 2018.

Kekalahan itu menyaksikan Pas dan UMNO bertaut, sebelum rakan baharu dari kumpulan ‘Langkah Sheraton’ menyertai mereka, sekali gus menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan itu.

Namun, berlaku sedikit konflik antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan tiga serangkai itu, sama ada mahu mengekalkan hubungan dalam MN atau Perikatan Nasional (PN).

UMNO mengharapkan Muafakat Nasional kekal, tetapi Pas mahu UMNO turut bersama PN.

Bersatu dan sesetengah pemimpin Pas mengharapkan PN kekal dengan gabungan bersama UMNO. Bagaimanapun, UMNO bersama sesetengah pemimpin Pas lagi mahu MN dikekalkan, tanpa Bersatu.

Asalnya cinta tiga segi, tetapi bertukar kepada main kayu tiga, apabila ada dalam UMNO dan Pas yang dianggap ‘pembelot’ cuba memujuk parti masing-masing supaya kekal bersama PN menghadapi PH dalam PRU15.

Pas pula dalam konflik ini dilihat seperti mahu bermadu tiga. Dengan PN pun nak, dengan UMNO pun nak, selain bergabung dengan Parti Ikatan Rakyat (Ikatan) dalam Gagasan Sejahtera (GS).

Kepada pemimpin dan ahli akar umbi UMNO, selamat bersidang dengan norma baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast