ROM – Aksi terbaik separuh masa pertama Itali mengakibatkan Northern Ireland tersungkur 2-0 dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 benua Eropah yang berlangsung awal pagi tadi.
Dalam aksi di Parma, Itali, gol minit awal Domenico Berardi memberi semangat untuk pasuakn Gli Azzuri terus mengatur serangan untuk menambah jaringan di gawang lawan.
Skuad kendalian Roberto Mancini kelihatan bertenaga menentang Northern Ireland yang beraksi lebih berhati-hati elak dibolos gol pada defisit besar.
Namun nasib tidak menyebelahi lawan apabila pada minit ke-38 gawangnya sekali lagi berjaya dirobek tuan rumah Itali.
Gol kedua yang juga kemenangan hadir menerusi Ciro Immobile yang berjaya memperdaya penjaga gol lawan Bailey Peacock-Farrell untuk meledakkan gol itu sekaligus menduduki tangga kedua dalam Kumpulan C di belakang Switzerland.
Juara empat kali Piala Dunia itu dirombak sebagai pasukan baharu sejak pengambilalihan oleh Mancini pada 2018 dan belum tewas dalam 28 aksi antarabangsa setakat ini.
Mereka juga belum kalah dalam sebarang aksi kelayakan piala dunia di laman sendiri.- MalaysiaGazette