Setiausaha Gabungan Bas Malaysia Thigarajan A/L Rengathan (tengah) dan Sekretariat Gabungan Bas Malaysia pada sidang media berkenaan "Sejauh Manakah Keberkesanan Inisiatif dan Usaha Kerajaan Terhadap Indusri Bas dan Pelancongan Negara" akibat pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Gabungan Bas Malaysia merayu Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbang moratorium bersasar diberikan kepada pengusaha bas untuk membantu meringankan masalah kewangan yang mereka hadapi ketika penularan Covid-19.

Setiausahanya, R. Thiagarajan juga merayu supaya kerajaan memandang serius tuntutan pengusaha-pengusaha bas yang semakin tersepit.

Beliau mendakwa bantuan yang diumumkan kerajaan untuk membantu pengusaha bas dan memulihkan industri pelancongan negara Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan tidak sampai sepenuhnya kepada pihak terbabit.

Malah katanya bantuan sampai kepada 15 hingga 20 peratus daripada jumlah mereka yang terkesan.

Thiagarajan turut mendakwa pembiayaan skim yang diumumkan di bawah inisiatif Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) juga tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Selain itu, Thiagarajan juga mendakwa pengagihan peruntukan di bawah Program Subsidi Upah (PSU) lambat diuruskan menyebabkan timbul pertelingkahan antara majikan dengan pekerja.

“Saya tidak tahu di mana masalahnya. Kami menerima PSU agak lambat.  Pemandu ini rata-ratanya sehinga bulan Januari masih tidak bekerja. Jadi mereka mengharapkan PSU.

“Tapi bila lambat, pemandu ini menyalahkan syarikat, mengatakan syarikat tak memohon. Sedangkan syarikat sudah mohon. Jadi, percepatkanlah, dana sudah ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Thiagarajan juga menuntut bukti laporan penggunaan dana bagi PSU sekiranya kerajaan mendakwa dana itu telah habis disalurkan.

Bagi Bantuan PERMAI pula, katanya, syarat ketat yang dikenakan menyukarkan pengusaha-pengusaha bas dan agensi pelancongan memohon lanjutan moratorium bersasar untuk mengurangkan ansuran pinjaman demi kelangsungan perniagaan mereka.

“Kebanyakan pengusaha masih ada berhutang dengan bank seperti hutang kereta dan rumah. Sudah tiada pendapatan pula, bila kami mohon untuk lanjutan moratorium, macam-macam yang diminta.

“Sepatutnya, ia secara automatik, kerana mereka akan minta latarbelakang pekerjaan. Pasti mereka tahu pengusaha bas, pengusaha agensi pelancongan. Bagilah kelonggaran sedikit. Bukan mereka ada duit, mereka tiada pendapatan untuk bayar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast