Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi Kes lucut hak 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini terus diperdengarkan kes melucut hak barangan disita dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 17 pihak lain dua tahun lalu.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dimulakan dengan hujah pendakwa raya mengapa barangan sitaan termasuk wang itu tidak boleh diberikan kembali kepada pihak ketiga yang berkepentingan itu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, tidak ada logik bagaimana wang berbilion ringgit yang digelapkan dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Hujah Faten, perlu ada penjelasan bagaimanakah aliran wang yang menunjukkan berbilion ringgit telah masuk ke akaun Najib antara tahun 2011 dan tahun 2013 dan perkara itu telah disahkan pegawai penyiasatan anti penggubahan wang haram.

Sebelum ini, Superintendan Foo Wei Min mendedahkan perpindahan wang dari 1MDB ke akaun Ambank Najib bernombor 9694 dilakukan dalam tiga peringkat manakala Asisten Komisioner D. Rajagopal pula mengenal pasti peringkat pertama dan kedua.

“Tidak ada penjelasan logik mengapa akaun ini telah menerima wang dalam jumlah besar kecuali responden pertama (Najib) mendakwa ianya adalah wang derma dari Raja Arab Saudi. Itu sahaja kenyataan daripadanya.

“Lebih RM2 bilion telah dikembalikan kepada entiti bernama Tanore, baki pula dibayar kepada pelbagai entiti lain seperti parti politik, individu serta entiti perniagaan.

“Sebahagian wang juga dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib yang bernombor 1880. Ini adalah mekanisma penggubahan wang haram. Jika derma, mengapa pula perlu dipulangkan dan nilainya besar melibatkan jutaan ringgit.

“Kami bukan hendak menunjukkan siapa bersalah dalam hal ini tetapi untuk menunjukkan aktiviti pengubahan wang telah berlaku,” hujahnya.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifudin Hashim Musaim pula berkata, hasil daripada siasatan polis menunjukkan harta-harta itu diperoleh daripada aktiviti wang haram dan pihak ketiga berkepentingan tidak sepatutnya menuntut wang tersebut.

Permohonan bersambung 1 April ini untuk penghujahan pihak responden.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd. Najib dan Nooryana Najwa Mohd. Najib serta Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib) sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho).

Juga Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden-responden.

Barangan yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000.

Ia melibatkan Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand.

Juga Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh polis.

Barangan lain yang disita pada 11 Jun 2018 ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. -MalaysiaGazette