Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melancarkan gimik gotong royong dengan menanam pokok pada Program "Jom Turun Sungai bagi Menghargai Air" sempena sambutan Hari Air Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Dataran Sungai Langat, Bangi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 MAC 2021.

BANGI – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil pendekatan terbaharu untuk mengubah imej kilang perindustrian di negara ini yang selama ini dianggap pencemar sungai di mata rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi mengubah imej berkenaan,  kementerian mahu mengajak pengusaha kilang industri berhampiran sungai menyertai program Pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK).

Inisiatif itu antaranya objektifnya untuk menjamin kebersihan sungai yang menjadi sumber utama air negara sentiasa terpelihara tanpa pencemaran.

“Sekarang rentetan beberapa insiden lebih kerap melibatkan pencemaran sungai akibat pembuangan sisa kimia dan sebagainya dalam sungai misalnya Sungai Kim Kim di Johor dan Sungai Gong Selangor, kilang industri diserang rakyat.

“Kita mahu buang imej kilang industri ini dilabel sebagai pencemar utama sungai negara dengan mengajak syarikat perindustrian dekat sungai menyertai program Projek Denai Sungai Kebangsaan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2021 di Denai Sungai Langat berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Pada majlis yang sama, Tuan Ibrahim turut merasmikan buku panduan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) untuk tatapan umum.

Menurutnya, Projek Pembinaan Denai Sungai Kebangsaan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Air Negara Khamis lalu dan kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri menyambut baik dan memberi sokongan padu untuk menjayakan usaha kementerian.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, kementerian juga merancang untuk membina Loji Discaj Efluens Industri Berpusat khusus untuk memantau kilang-kilang perindustrian terutama yang terletak berhampiran sungai tidak melakukan aktiviti jenayah membuang sisa kimia ke dalam sungai sehingga mencemarkan sekitar.

Orang ramai bergotong-royong pada Program “Jom Turun Sungai bagi Menghargai Air” sempena sambutan Hari Air Sedunia peringkat Kebangsaan 2021 di Dataran Sungai Langat, Bangi. Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 MAC 2021.

Menurut Tuan Ibrahim, setakat ini sistem loji berpusat seumpama itu hanya diperkenalkan dan sedang digunapakai untuk pengurusan sisa kumbahan sahaja dan ia merupakan pendekatan baharu yang sedang diusahakan kementerian.

“Loji Discaj Efluens Industri Berpusat ini akan menggabungkan semua kilang perindustrian di bawah satu bumbung bagi memudahkan pemantauan dan siasatan jenayah oleh Jabatan Alam Sekitar tanpa perlu mengadakan operasi dan memeriksa setiap kilang apabila setiap kali berlaku jenayah pencemaran sungai.

“Setakat ini langkah ini disambut baik oleh syarikat perindustrian dan kami mahu mereka tampil memberi kerjasama dengan kita untuk menjayakan program ini dengan mengambil tanggungjawab membina dan menjaga denai sungai premis masing-masing elak pencemaran serius,” ujarnya.

Justeru katanya, menjelang 2023 beliau menyasarkan pembinaan Denai Sungai sejauh 1,000 kilometer dan 10,000 kilometer menjelang 2030.

“Kita mempunyai sungai sepanjang 80,000 kilometer dan 10,000 kilometer sudah dibersihkan dan ia akan menjadi tarikan baru memacu ekonomi pelancongan.

“Kementerian juga membuat ketetapan untuk mengadakan gotong royong perdana peringkat kebangsaan dua kali setahun untuk Hari Air Sedunia 22 Mac dan Hari Sungai Sedunia pada Ahad minggu terakhir setiap bulan September.

“Dulu aktiviti gotong royong menjadi satu budaya dan amalan yang tidak dapat dipisahkan dari masyarakat, malangnya perkembangan dunia moden yang mengubah kehidupan rakyat mengakibatkan budaya itu telah dilupakan dan tidak lagi dipraktikkan secara besar.

“Sekarang menerusi dua gotoong royong perdana setiap tahun, kita akan menyemai semula budaya itu dalam kehidupan harian rakyat supaya mereka memainkan peranan utama memelihara kebersihan air dan sungai daripada tercemar,” tegasnya.-MalaysiaGazette