KUALA LUMPUR – Sekiranya UMNO bercita-cita untuk mendapatkan kerusi Perdana Menteri (PM) maka parti perlu memenangi PRU-15 dengan jumlah kerusi yang kukuh.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, sekiranya memenangi PRU-15, satu lagi ujian perlu didepani sama ada calon PM itu diterima oleh gabungan-gabungan parti.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata parti itu perlu menjadi induk dalam memastikan jawatan Perdana Menteri adalah milik UMNO.
“Dia (Mohamad Hasan) kata UMNO mesti jadi PM, kita kena lihat kalau UMNO nak jadi PM mesti menang PRU-15, sekarang masalah dia tidak menang. Tidak ada masalah kalau UMNO menang PRU mesti jadi PM tapi kalau tidak menang macam mana nak jadi Perdana Menteri.
“(Kalau) boleh dapat 60 hingga 80 kerusi sahaja macam mana nak jadi Perdana Menteri? Dia cakap tapi bolehkah Pas dan GPS terima, itu yang masalahnya,” katanya kepada media selepas membuat kunjungan mesra di Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) hari ini.
Dalam pada itu, Zahidi berkata, hasrat UMNO untuk menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menguntungkan parti itu sekiranya percaturan untuk bergerak solo dalam PRU-15 gagal.
“Kalau sekarang ini, UMNO bertanding kita tidak cukup 120 kerusi, jadi UMNO sekarang No DAP, No PKR dan No Bersatu, siapa nak berpakat dengan kita. Kita terus jadi pembangkang.
“Sebab itu (kalau) kita daripada awal tak nak berpakat dengan sesiapa. Tiba-tiba kerusi tak cukup dan kita nak minta parti lain berpakat dengan kita, ada parti nak berpakat dengan kita?
“Hari ada perkara ada perkara setuju dan ada yang tidak setuju. Kalau lepas PRU-15, UMNO dapat hanya 60 kerusi, jadi tidak ada sesiapa nak berpakat dengan kita.
“Kita harus fikirkan, maknanya kena bincang. Kalau daripada awal sudah tidak setuju dengan orang, tapi kalau UMNO boleh dapat 120 kerusi atau pun 112 tak payah setuju dengan sesiapa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: