Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu menjadi parti induk dalam memastikan boleh menjadi parti yang memimpin kerajaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu kerana jawatan Perdana Menteri adalah jelas untuk parti terbesar di negara itu.

“Jawatan PM itu adalah untuk UMNO, tiada dapat dinafikan lagi. Kita mesti jadi induk dan UMNO tidak boleh jadi anak ayam, kita mesti jadi induk.

“Kita sudah biasa jadi induk. dan induknya akan menyayangi anak-anak dia, bukan Melayu sahaja kita jaga, bukan Melayu pun kita jaga,” katanya dalam sidang media selepas ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020), hari ini.

Ke arah itu, kata Mohamad, UMNO perlu mengambil peranan untuk menjadi pemain utama dalam gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Jelasnya, UMNO sebagai pentadbir negara selama 60 tahun tidak biasa untuk berada di bawah kuasa pihak lain.

“Walaupun sekarang kita dalam kerajaan PN itu bukan kuasa kita, kita cuma mengikut dan tunduk kepada apa sahaja arahan yang dikeluarkan.

“UMNO tidak biasa begitu, UMNO BN telah 60 tahun menerajui negara, kita mempunyai rekod yang amat baik jadi ini kekuatan kita dan ini perlu kita sarankan kepada orang ramai bahawa tiada parti lain yang boleh diyakini untuk mentadbir negara secara baik.

“UMNO mesti dijadikan parti induk dan parti teras kepada pentadbiran negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette