KUALA LUMPUR – UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin menegur dan mengkritik parti itu dengan menyumbang idea dan buah fikiran menerusi Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal tahun ini.
Naib Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, parti itu memberi jaminan bersedia menerima apa juga kritikan sebagai persediaan untuk kembali menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Kalau tuan-tuan dan puan-puan adalah kumpulan orang Melayu yang betul-betul yakin kepada setiap fasa dalam Perlembagaan yang menjaga agama, mengatur bangsa dan kemajuan negara, parti UMNO platformnya.
“Sertai kami dengan memberikan buah fikiran, sertai kami dengan memberikan keyakinan dan kepercayaan. Tegur dan kritiklah sebab UMNO bersedia menerimanya.
“Sebab kami sedang memacu usaha untuk menjadi kerajaan selepas PRU-16. Jadi semua peranan dan nasihat daripada rakyat, mesti kita terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya itu terus mengajak mereka yang pernah kecewa dan menjauhkan diri untuk kembali menyumbang kepada parti itu.
Beliau berkata, ruang itu diberikan menerusi agenda Rumah Bangsa kepada mereka yang pernah kecewa dan menjauhkan diri untuk menyumbang semula kepada perjuangan parti.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared turut menyeru individu yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menyumbang idea di Rumah Bangsa tanpa perlu menjadi ahli UMNO.
“Gembira dan selesa dengan perjuangan kami, datang dan berikan input bagaimana sepatutnya UMNO ini menggerakkan tugas-tugasnya.
“Jadi, saya kira itu maksud Rumah Bangsa yang lebih luas. Jangan kata kena masuk UMNO, tapi sebabnya kita lebih gembira walaupun dia bukan ahli, tapi dia memahami perjuangan dan menyokong dengan beri kepercayaan kepada kita,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor. – MalaysiaGazette
















