Peserta-peserta himpunan menunjukkan plakad bantahan pada Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Barisan Mahasiswa hari ini mengecam tindakan kerajaan yang didakwa gagal melaksanakan Undi18 yang sepatutnya berkuatuasa Julai tahun ini.

Selain itu mereka juga membidas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi alasan Covid-19 mengekang pelaksanaannya dan menganggapnya tidak munasabah.

Wakil Mahasiswa Pakatan Harapan, Calvin Yeoh Ging Gong berkata, kenyataan SPR itu akan mencabul hak 1.2 juta anak muda yang berumur antara 18 hingga 21 tahun di negara ini.

Katanya, pihaknya juga mendengar desas desus mengatakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal dilaksanakan pada hujung tahun atau awal tahun depan sambil mempersoalkan logik kerajaan cuba mendiamkan suara anak muda.

“Kerajaan sentiasa menggunakan alasan wabak Covid-19 sebagai benteng pertahanan membenarkan segala tindakan buruk yang dilakukan dengan ditambah pula dalam keadaan darurat, kerajaan hari ini seolah mempunyai kuasa veto dalam menguruskan hal pentadbiran negara.

“Institusi Parlimen juga digantung sejak pengisytiharan darurat dan kerajaan mengamalkan pemerintahan diktator,” dakwanya kepada media selepas protes duduk senyap atas jalan di luar Parlimen selama 18 minit sebagai bantahan penangguhan Undi18 hari ini.

Kira-kira lebih 50 anak muda juga membawa payung hitam dan mendukung kain rentang bertulis Mana Hak Undi18 Kami sambil melaungkan Hidup Anak Muda, Laksanakan Undi18.

Mereka berarak dari Padang Merbok bermula 2.20 petang dan tiba di luar Parlimen sebelum bersurai sekitar 3.30 petang tanpa sebarang masalah.

Calvin dalam perkembangan berkaitan mencadangkan beberapa solusi jika kerajaan dan SPR mengalami kebuntuan idea bagi memberi ruang kepada anak muda berumur 18 tahun untuk mendaftar sebagai mengundi.

Tambahnya, penyelarasan bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha itu diperlukan selain mendapatkan data pengundi.

“Kami mendesak agar Undi18 dilaksanakan dengan kadar segera dan juga pembukaan institusi Parlimen yang menjadi lambang demokrasi negara.

“Cukuplah dengan alasan tidak logik dan keanak-anakan yang diberikan oleh kerajaan dan kami rakyat mencintai konsep demokrasi serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak layak melumpuhkannya.

“Jika tidak mampu mentadbir, letak jawatan dan beri peluang kepada orang lain untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” tegas Calvin lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. 18thn nak buang hingus pun tak tau duduk bwh Ketiak mak.. .. Sekiranya boleh mengundi maananya boleh jd wakil kpd raayat boleh masuk calun..

Comments are closed.