Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyeru rakyat negeri ini supaya tidak ragu-ragu untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Seruan Sultan Sharafuddin itu adalah seperti yang digariskan dalam intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Selangor semalam, menurut satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

Kenyataan itu juga memaklumkan baginda berkenan untuk mengingatkan rakyat menerusi pesanan khutbah berkenaan agar menerima baik saranan pihak kerajaan supaya mengambil vaksin dengan mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera dan Selangkah, serta lain-lain cara untuk mendapatkan suntikan vaksin yang telah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Baginda turut menyokong gesaan dan nasihat dalam khutbah berkenaan supaya rakyat tidak perlu gusar lagi apabila menerima suntikan tersebut ketika berpuasa di bulan Ramadan,” katanya.

Perkara itu telah diperhalusi dan diperbincangkan untuk menetapkan hukum keharusannya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke 118 yang bersidang dari 16 hingga 17 Februari dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 9 Mac.

“Baginda turut sama memanjatkan doa agar rakyat di Selangor terus dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta penularan wabak COVID-19.

Semoga ianya dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri segera. Yakinlah di sebalik setiap kegelapan itu, pasti ada cahaya yang akan menerangi kehidupan,” titah baginda.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast