Peserta-peserta himpunan menunjukkan plakad bantahan pada Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Gabungan gerakan anak muda hari ini menyatakan bantahan mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 sehingga September 2022.

Pelaksanaan itu sepatutnya dibuat pada Julai tahun ini seperti dijanjikan,  kata salah seorang wakil pelajar berusia 18 tahun, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal.

Beliau mendakwa penangguhan selama 15 bulan itu mengarut dan tidak mencerminkan kesungguhan untuk memberikan hak mengundi kepada anak muda yang mencapai umur 18 tahun.

Peserta-peserta himpunan menunjukkan plakad bantahan pada Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

“Rakyat Malaysia khususnya anak muda membantah keputusan ini sekeras-kerasnya kerana hak setiap dewasa untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak asasi dalam mana-mana demokrasi dalam dunia ini.

“Apa yang menghalang untuk SPR melaksanakan Undi18? mana undi kami selaku anak muda yang ingin bantu membentuk masa depan negara,” katanya kepada pemberita di hadapan Parlimen petang tadi.

Mahasiswa, Nurul Rifayah, 18, berucap ketika himpunan anak muda secara aman hadapan parlimen mendesak kerajaan melaksanakan segera Undi 18 menjelang Julai tahun ini di Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 27 MAC 2021.

Seramai lebih 50 anak muda termasuk gabungan mahasiswa berarak secara aman dari Padang Merbok sambil membawa kain rentang.

Beberapa pemimpin parti politik pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Thian Chua dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan.

Juga kelihatan beberapa wakil rakyat DAP dan juga wakil mahasiswa dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Mereka berjalan sehingga di hadapan bangunan Parlimen sebelum duduk secara senyap selama 18 minit di atas jalan pada jarak 150 meter dari premis Parlimen.

Sepasukan anggota polis kira-kira 50 orang daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengawal ketat di hadapan Parlimen untuk mengawal keadaan.

Nurul dalam masa yang sama turut mendesak SPR dan kerajaan agar segera melaksanakan penurunan umur mengundi 18 tahun selewat-lewatnya Julai 2021 dan mewujudkan ketelusan dalam proses pelaksanaan pendaftaran pengundian secara automatik.

“Malah kerajaan perlu segera menamatkan perintah darurat dan membenarkan Parlimen bersidang semula. Perhimpunan aman petang ini adalah respon awal anak muda kepada keputusan kerajaan Persekutuan yang tidak serius untuk melaksanakan Undi 18.

“Kami turut mendesak agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi Malaysia mengikut garis masa yang telah dijanjikan sebelum ini dan telah diundi oleh beliau selaku ahli Parlimen,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast